IPOH - Sekumpulan 100 penyokong parti bertindak agresif apabila membakar sebuah kereta awam dan menyerang anggota polis dengan membaling 'bom air' ketika penamaan calon di Stadium Indera Mulia di sini, pada Isnin.
Rusuhan sekitar jam 9.30 pagi itu bermula apabila berlaku provokasi antara penyokong parti bunga dan parti naga ketika mengiringi calon parti masing-masing.
Empat seksyen membabitkan anggota Unit Tempur Ringan (LSF), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang berpakaian lengkap dan pelindung tiba beratur mengendalikan situasi rusuhan termasuk melepas gas pemedih mata.
Bagaimanapun, situasi cemas itu hanyalah simulasi Latihan Amal LSF sebagai persediaan IPD Ipoh dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bermula Sabtu ini.
Simulasi selama sejam itu melibatkan 232 orang peserta LSF, Pasuksn Simpanan Persekutuan (PSP) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, latihan bermula 21 Oktober lalu melibatkan 1,567 pegawai dan anggota IPD Ipoh yang akan diatur gerakkan bagi penugasan sepanjang PRU15.
"Tugasan menjaga keamanan dan keselamatan merupakan satu tugasan mencabar bagi PDRM dalam menghadapi pelbagai situasi sukar yang kemungkinan berlaku.
"Latihan amal ini wajar bagi melengkapkan pasukan dengan kemahiran dan persediaan mental untuk menghadapi sebarang situasi yang menggugat kelancaran proses pilihan raya nanti," katanya.