[VIDEO] Tengku Zainul umum tanding di Parlimen Pekan

Iklan
Tengku Zainul Hisham (tengah) pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusannya bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Pekan dan DUN Peramu Jaya di sini pada Isnin.

PEKAN - Bekas Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pekan, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Pekan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tengku Zainul Hisham pernah bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada pada Julai 2020 namun kalah kepada calon BN, Mohd Shahrim Md Zain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun ada parti politik menawarkan supaya dia bertanding atas tiket parti lain pada PRU15, anak jati Pekan itu lebih memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas.

"Parti-parti politik sekarang bercelaru, berkecamuk dan bertelagah sesama sendiri jadi lebih baik kali ini saya bertanding di dua kerusi itu sebagai calon Bebas.

Iklan

"Seperti mana pada PRK Chini, saya bertanding untuk membawa suara rakyat.

"Kalau dahulu bawa suara penduduk Chini, kali ini saya akan berjuang angkat permasalahan rakyat Pekan keseluruhannya jika diberi mandat sebagai ahli Parlimen," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Iklan
Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin

Bagi beliau, calon bebas lebih mudah berkhidmat untuk rakyat kerana mereka senang didampingi dan dihubungi bila khidmat diperlukan.

"Jika diberi peluang, saya mungkin akan menggunakan simbol rumah sama seperti yang digunakan pada PRK Chini.

"Bagi saya, rumah simbol tempat berteduh dan berlindung sesuai dengan pemimpin yang dilantik sebagai tempat rakyat bergantung harap," jelasnya.

Tambah beliau, keputusannya bertanding untuk kerusi Parlimen Pekan supaya khidmatnya akan lebih berkesan.

Sementara itu katanya, ketiadaan bekas Perdana Menteri yang juga penyandang kerusi Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak pada PRU15 ini akan menyukarkan UMNO untuk menang mudah.

"Kita belum pasti siapa dan kekuatan calon yang akan diletakkan bagi menggantikan tempatnya kali ini.

"Kalau calon itu asal Pekan tapi tidak tinggal di daerah ini mungkin timbul masalah juga apatah lagi saingan dengan calon dari parti lain termasuk calon Bebas," katanya.

Tengku Zainul Hisham digugurkan keahlian daripada Bersatu ekoran tindakannya bertanding atas tiket Bebas pada PRK Chini.

Pada pilihan raya kecil itu, beliau berdepan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mohd Shahrim Md Zin dan seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli.

Mohd Sharim menang dengan majoriti 12,650 undi apabila memperoleh 13,872 undi.

Tengku Zainul Hisham beroleh 1,222 undi manakala seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli, hanya mendapat 137 undi.