ALOR SETAR - Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh mengakui bersetuju dengan pandangan bekas Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berhubung tuntutan kerusi Parlimen Jerai untuk diwakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Dr Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor memaklumkan, beliau akur kepada keputusan pucuk pimpinan yang memuktamadkan Parlimen Jerai akan diwakili oleh Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff.
"Prosesnya, apabila perkara ini tidak selesai di peringkat saya, (maka) dibawa ke peringkat pengerusi dan peringkat atasan sehingga ke majlis presiden. Dalam rundingan, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah memberi dan membuat keputusan memberi kerusi kepada DAP. Sampai di situ saya patuh," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pada Isnin.
Dr Ismail berkata, Phahrolrazi yang juga ADUN Alor Mengkudu itu pula bertindak untuk terus mendesak kerana ruang masih ada sehingga tarikh penamaan calon iaitu 5 November ini.
"Itulah tarikh penamaan calon, maknanya ruang untuk mendesak itu masih ada. Jadi itulah ruang yang digunakan Datuk Phahrolrazi. Saya tidak menggunakan ruang itu apabila (Amanah) nasional membuat keputusan. Tetapi semua apa yang beliau buat adalah hasrat untuk memastikan kerusi itu milik Amanah, tidak berbeza.
"Hasrat kita memang macam itu, tetapi organisasi kita yang akan menentukan. Organisasi kita, negeri dan nasional. Jikalau nasional buat keputusan,itu kami akurlah," katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr Ismail menyatakan Amanah Kedah akan memastikan situasi yang berlaku tidak memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.
"Kita tengok 'mood' rakyat itu sekarang bersama kita. Saya rasa gelombang ada akan mampu mengatasi masalah yang ada sikit-sikit," katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga akan memastikan perkara ini tidak akan merencatkan peluang PH untuk menang pada pilihanraya nanti.