Seorang lagi anak mangsa nahas di Setiu meninggal dunia

Iklan
Kemalangan melibatkan sebuah MPV dan treler tangki minyak di kilometer 83 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat Kampung Bintang, Setiu pada Jumaat lalu. Gambar kecil: Nur Qaireen Luthfiya

KUALA TERENGGANU - Mangsa kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang bertembung treler tangki minyak di Setiu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini setelah empat hari bertarung nyawa.

Nenek mangsa, Sharifah Suzi Suriani Sayed Anuar, 53, berkata, cucunya, Nur Qaireen Luthfiya Mohd Lekman, 5, menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.05 pagi pada Isnin.

Iklan
Iklan

Katanya, arwah cucunya yang patah tulang leher, tulang belakang dan paha serta mengalami pendarahan pada paru-paru serta hidung tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif setelah terlibat dalam kemalangan itu.

"Jenazah akan dikebumikan bersebelahan kubur arwah ibu dan adiknya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Iklan

Jumaat lalu, MPV dipandu seorang wanita yang membawa lima penumpang bertembung dengan treler tangki minyak dalam kejadian di kilometer 83 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat Kampung Bintang, Setiu.

Kejadian berlaku pada jam 4.40 petang itu menyebabkan mangsa, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30, yang memandu Perodua Alza meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan

Bayinya, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman yang berusia dua tahun turut meninggal dunia sejurus selepas kemalangan ketika dikejarkan ke Hospital Setiu.

Difahamkan, seorang lagi mangsa, Muhammad Arsyad Syahiran Mohd Agil, 9, yang turut mengalami kecederaan parah kini masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) HSNZ.

Dua lagi mangsa iaitu suami Fatin Hazlin Dahlia, Mohd Lekman Zakaria, 36, mengalami luka-luka dan patah kaki sementara seorang lagi anaknya iaitu Sayyid Lutfi Mohd Lekman, 7, yang patah tangan kiri dilaporkan stabil.