KUALA LUMPUR - Berikut adalah intipati Model Felda Baharu yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kertas putih bertema Ke Arah Kelestarian Felda.
1. Sewaan Tanah Jangka Panjang - Tanah peneroka yang mengambil bahagian dalam inisiatif ini akan disatukan pengurusannya serta disewa dan diuruskan oleh Felda dalam tempoh jangka panjang. Ini akan menyelesaikan masalah peneroka usia emas, kurang berkemampuan serta kekurangan generasi baru untuk menguruskan ladang.
2. Program Pembangunan Peneroka bagi Mendapatkan Hasil Baharu - Inisiatif menjana pendapatan baharu melalui diversifikasi tanaman & ternakan yang sesuai dan berpotensi. Felda akan menjadi pemacu industri makanan negara sekaligus menangani kebergantungan kepada import makanan lebih RM45 bilion setahun.
3. Pengurusan Ladang melalui Pengukuhan Koperasi Felda-Felda akan menjalinkan kerjasama konstruktif dengan Koperasi Felda untuk aktiviti pengurusan yang akan dilaksanakan secara berskala besar dan lebih ekonomik. Penglibatan koperasi juga akan diperkasakan dalam pengurusan, pelaburan dan perniagaan yang diusahakan Felda.
4. Penggunaan Teknologi Terkini - Sebagai Bank Tanah terbesar negara, Felda akan beranjak daripada sistem perladangan tradisional kepada perladangan pintar (smart farming) dengan penggunaan teknologi moden.
5. Felda akan memperkenalkan Skim Bantuan Baharu yang lebih fleksibel & berdasarkan keperluan peneroka bagi mengelakkan kebergantungan kepada hutang yang tinggi dalam tempoh panjang. Kadar bayaran balik akan ditentukan berdasarkan pendapatan peneroka.
6. Penambahbaikan Infrastruktur Sosial dan Fizikal - Memberdaya kualiti hidup peneroka dan taraf sosioekonomi desa melalui usaha membandarkan Felda melalui usaha sama semua Kementerian dan agensi Kerajaan.
7. Meningkatkan Kualiti Pendidikan & Jati Diri Generasi Baharu Felda - Pembangunan sumber daya manusia di kalangan generasi baharu Felda dan wanita melalui pelaksanaan Skim Pendidikan Teknikal & Vokasional (TVET) dengan kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan syarikat swasta.
8. Memperkukuh Peranan Kepimpinan Tanah Rancangan - Peranan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan diselaraskan agar mampu membingkai muafakat utuh di kalangan peneroka. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Felda & agensi berkaitan akan membangunkan pelan pembangunan sosioekonomi peneroka meliputi aspek pembangunan usahawan, prasarana, modal insan & sahsiah khususnya bagi menangani gejala sosial di kalangan belia Felda.
9. Pelaksanaan Projek Perumahan - Kerajaan & Felda akan segera menyiapkan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang berada pada tahap kemajuan kerja lebih 70% dengan segera. Seramai 4,794 keluarga generasi baharu akan menerima manfaat segera ini. Felda juga akan membenarkan generasi baharu membina rumah sendiri di atas tapak sama peneroka asal.
10. Penyediaan Skim Pewaris Tanah untuk Peralihan Lancar - Program kemaskini data pemilikan tanah sedang giat dilaksanakan untuk memuktamadkan maklumat pewarisan. Projek Rintis telah selesai dijalankan untuk data pemilikan Felda Mempaga 3, Kampung Serik dan Lurah Bilut dan akan diperluas ke 314 Rancangan Felda yang lain. -Bernama