SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyokong penuh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Pengarah pilihan rayanya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, dukungan terhadap Ketua Pembangkang itu menjadi salah satu ketetapan yang dipersetujui bersama dalam mesyuarat pada 29 Oktober lalu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, dua lagi ketetapan adalah tiadanya pertindihan kerusi dengan rakan komponen PH yang lain dan parti itu dibenarkan menggunakan logo sendiri dalam PRU15.
Iklan
Iklan
"Ketetapan pakatan pilihan raya ini juga dibuat dengan hati yang suci dan sudah dimuktamadkan. Siri mesyuarat dan rundingan dibuat dengan adil dengan penyertaan kedua-dua belah pihak.
"Saya, pimpinan dan seluruh ahli parti akan memastikan komitmen ini dipatuhi dan dipenuhi oleh kami. Pimpinan PH juga pastinya akan memenuhi ketetapan bersama ini,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Amira Aisya juga menjelaskan bahawa beliau bersedia untuk bertemu kembali dengan pimpinan PH bagi membincangkan mengenai isu penggunaan logo dan ketetapan-ketetapan lain yang bakal dicapai.
Beliau juga berharap kerjasama Muda bersama komponen PH yang lain bakal membuahkan hasil yang baik pada PRU15 nanti.
"Semoga Muda-Harapan menerima sokongan penuh rakyat Malaysia di dalam PRU15 ini, Amin,” tambahnya.