KUALA TERENGGANU - Hampir 30 rumah dan premis perniagaan di sekitar Kampung Undang, di sini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut kuat dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang Isnin.
Selain atap rumah tercabut dan berterbangan dibawa angin kencang, sebuah van muatan barang yang diparkir di depan kedai turut diheret sejauh 50 meter dan jatuh ke dalam sawah padi.
Seorang penduduk, Fhatin Nur Shanieza Mohamad, 30, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah menonton televisyen bersama anak, mertua dan dua biras sebelum menyedari cuaca di luar rumah bertukar gelap.
"Ketika merakam keadaan itu, tiba-tiba datang putaran angin kuat seperti puting beliung dan menerbangkan pelbagai barang-barang sebelum stor simpanan barang terletak 30 meter dari rumah runtuh.
"Rumah juga bergegar, motosikal, rak kain jatuh, atap terbang. Ketika itu saya hanya ingat mati sambil memeluk erat anak berusia dua tahun kerana tidak tahu hendak lari ke mana," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.
Seorang lagi penduduk, Jamsari Mohamed, 43, yang bekerja sebagai buruh berkata, lebih 100 keping atap rumahnya hilang dibawa angin kencang dan ini merupakan kejadian pertama.
Kata Jamsari, ketika kejadian berlaku dia berada di rumah bersama ibunya, Minah Mat Ali, 69, sebelum terdengar bunyi bising di luar rumah.
"Saya jenguk keluar dan nampak atap rumah diterbangkan angin satu persatu hingga tinggal hanya di kawasan dapur saja.
"Bimbang dengan keselamatan, saya bawa ibu duduk di depan rumah sebelum angin kembali reda selepas 10 minit," katanya yang bersyukur kerana tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Undang, Daud Hassan berkata, pihaknya masih mengumpul data terkini jumlah penduduk terlibat dalam kejadian ini.
"Kebanyakan kerosakan melibatkan bumbung dan data yang dikumpul akan diserahkan kepada pihak berkenaan untuk urusan bantuan," katanya.