KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memperketatkan pelaksanaan pemutihan lebih 1,000 anggota termasuk bantuan dan sukarela susulan penahanan seorang kakitangan jabatan itu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan daun ketum di Jeli pada Khamis.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, pelaksanaan pemutihan anggota tersebut turut melibatkan ujian saringan urin yang sememangnya rutin jabatan itu pada setiap bulan.
Katanya, kali ini beliau mengarahkan kesemua ketua balai dan penyelia bertindak lebih tegas dan peka berkaitan soal intergriti anggota di bawah seliaan mereka.
"Tindakan segera akan diambil terhadap anggota bermasalah disiplin kerja. Gerak-geri mereka akan diperhatikan selain akan melihat isu berkait kecurian, jika berlaku.
"Kami tidak akan beri muka kepada anggota tidak berdisiplin dan melanggar undang-undang. Pegawai kanan sekalipun, kami tidak akan simpan kerana mereka seperti virus,” tegasnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM Tunjong, di sini, pada Isnin.
Akhbar pada Ahad melaporkan suspek yang berusia 29 tahun itu lengkap berpakaian uniform bomba bersama seorang individu awam berusia 35 tahun yang turut memakai baju-T bomba dipercayai menyeludup 850 kilogram daun ketum menggunakan sebuah van yang diubah suai menyerupai van bomba di Kampung Rabanna, Jeli.
Beliau berkata, anggota bomba yang sudah berkahwin dan berkhidmat dalam jabatan itu selama 10 tahun tersebut akan diusulkan supaya dibuang kerja, jika terbukti bersalah.
"Kes ini amat mencalarkan imej pasukan kami. Saya amat kecewa kerana warga bomba Kelantan terpalit sama malahan menjejaskan reputasi bomba di seluruh negara,” katanya.
Dalam penahanan jam 6.30 pagi itu, dua suspek termasuk anggota bomba berkenaan menaiki ‘van bomba’ melintasi sekatan jalan raya di Batu Melintang, Jeli dalam keadaan mencurigakan.
Selepas hampir 10 kilometer diekori polis, mereka ditahan dan pemeriksaan di dalam van menjumpai 85 bungkusan plastik hitam berisi gulungan daun ketum bernilai RM8,500.
Keterangan awal suspek-suspek mengaku mendapat bekalan daun ketum itu di sebuah negeri di utara tanah air untuk dipasarkan ke daerah Machang dengan upah RM3,000.