KOTA KINABALU - Parti-parti di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) Sabah masing-masing sudah mengumumkan calon yang akan bertanding di 23 daripada 25 kerusi Parlimen di negeri ini.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan 10 calon bagi Parlimen di Sabah dalam satu majlis di Putatan di sini pada Isnin.
Datuk Christina Liew dan Awang Husaini Sahari masing-masing kekal mempertahankan kerusi yang disandang mereka di Parlimen Tawau dan Putatan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Sangkar Rasam dicalonkan bagi kerusi Parlimen Pensiangan; Ketua Cabang Beaufort, Dikin Musah dinamakan sebagai calon Parlimen Beaufort; Ketua Penerangan Cabang Ranau, Taufik Dahlan dinamakan sebagai calon Parlimen Ranau dan Ketua Cabang Kota Belud, Mustapha Sakmud dicalonkan bagi kerusi Sepanggar.
Empat lagi kerusi lain ialah Thonny Chee bagi Parlimen Kudat, Madeli @ Modily Bangali untuk Parlimen Kota Belud, Arastam Pandorog (Parlimen Semporna) dan Noraini Abd Ghafur bagi Parlimen Kalabakan.
Presiden PKR merangkap Pengerusi PH berkata, bagi calon kerusi Parlimen Labuan masih belum diumumkan susulan perbincangan saat akhir yang dilakukan bersama Parti Amanah Nasional (Amanah).
Beliau turut memaklumkan calon bagi kerusi Parlimen Kinabatangan juga belum diumumkan susulan perubahan yang berlaku.
Kerusi Parlimen Sipitang akan ditandingi oleh Amanah dan pengumuman dijangka dibuat malam Isnin.
Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon mengumumkan tujuh kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti itu.
DAP Sabah akan mempertahankan kerusi milik mereka iaitu Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Noorita Sual (Tenom) dan Vivian Wong Shir Yee (Sandakan).
Empat lagi kerusi Parlimen ialah Henry Shim (Papar), Liau Fui Fui (Batu Sapi), Oscar Sia Yu Hock (Silam) dan Grelydia Gillod (Keningau).
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut memperkenalkan calon tunggal mereka di Sabah, Sharizal Denci, 40, yang akan bertanding di Parlimen Kota Marudu.
Sementara itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bertanding di lima kerusi dengan Presidennya, Datuk Seri Madius Tangau kekal mempertahankan Parlimen Tuaran dan Naib Presidennya, Datuk Ewon Benedick akan bertanding di Parlimen Penampang.
UPKO turut menampilkan tiga lagi calon lain iaitu Rowindy Lawrence (Kimanis), Felix Joseph Saang (Beluran) dan Dr Peter Naintin (Libaran).