Hafiz, bekas pegawai tinggi kerajaan bakal calon Pas

Iklan
Khairul Nadzir

SHAH ALAM - Pas akan mengumumkan beberapa calon muda di bawah umur 30 tahun untuk diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pengumuman calon muda tersebut akan dibuat melalui program Perikatan Nasional (PN) malam esok.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH, kita akan membuat beberapa kejutan. Pas akan menampilkan seorang calon anak muda bawah 30 tahun, mempunyai pengalaman beberapa tahun dalam kerajaan, berlatar belakang pendidikan yang profesional dan seorang bergelar hafiz yang menghafaz 30 juzuk al-Quran.

"Kita juga ada seorang calon yang dinanti-nantikan dalam Pas. Seorang profesional, teknokrat, pernah menganggotai satu jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pernah berada dalam kerajaan dan tahu selok-beloknya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, manifesto yang akan diperkenalkan tidak lama lagi sudah tentu akan mengambil kira pelbagai aspek terutama dari suara anak-anak muda seperti gaji, kos sara hidup, komitmen kereta dan rumah.

"Apa anak muda perlukan sekarang, kebimbangan paling besar adalah mereka mahukan pekerjaan stabil dan boleh menjamin masa depan.

Iklan

"Insya-ALLAH akan ada dalam tawaran-tawaran manifesto yang kita akan bawa.

"Sebenarnya tawaran yang diperkenalkan ini pernah dilaksanakan ketika PN memimpin kerajaan pada tahun 2019 di bawah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujarnya.

Dalam pada itu, ujar Khairul Nadzir, pengundi muda perlu mempunyai senarai mereka sendiri dalam memilih calon pilihan raya.

"Pertamanya, perlukan kerajaan yang stabil, kompeten dan boleh memimpin. Insya-ALLAH barisan yang diperkenalkan kepimpinan adalah mereka yang berkompeten dalam PN.

"Kedua adalah, apakah tawaran keprihatinan yang dibawa kepada anak muda ini. Isu gaji, adakah mereka mampu memberi kereta atau rumah, itu semua akan menjadi perhatian dan keutaman yang diterjemahkan oleh Pas dan PN,” jelasnya.