APABILA pakar bedah tanah air, Dr Amalina Che Bakri memuat naik hantaran menunjukkan beliau berjalan-jalan membawa anak sulungnya selepas empat hari dilahirkan, netizen Malaysia ‘melompat’.
Komen yang mengkritik cara doktor berkenaan bertebaran. Tindakan Dr Amalina itu disifatkan di luar norma adat dan tradisi masyarakat Melayu.
Meskipun beliau kelihatan ceria dan sihat, warganet nampaknya tidak peduli. Antara komentar paling win yang Merak Jalanan baca:"Empat hari? Kita 44 hari masih tak keluar rumah lagi, hanya pergi ke klinik saja. Kalau tak ikut pantang, nanti orang tua bising.”Menyedari dirinya dikecam hebat, Dr Amalina memberi respons menerangkan berpantang caranya. Menghayati satu persatu tip disenaraikan, memang logik dari aspek perubatan.
Berdasarkan beberapa penulisan saintifik yang Merak Jalanan kutip, terdapat tiga asas dalam berpantang. Pertama, minum dua hingga tiga liter air sehari. Ia bagi mengelak komplikasi kesihatan dan demi memenuhi kehendak badan untuk menyusukan bayi.
Kedua, mengamalkan pemakanan seimbang. Kalau diikutkan, dalam kehidupan harian pun kita disarankan berbuat demikian, apatah lagi selepas melahirkan anak.
Satu lagi, tiada diet atau makanan khusus semasa ibu berpantang. Berdasarkan MyHealth, golongan itu disyorkan mengikut Piramid Makanan Malaysia. Tiada juga kajian menunjukkan makan makanan ‘sejuk’ seperti timun atau tembikai akan membuatkan seseorang demam.
Terakhir, jalani kehidupan yang sihat. Antaranya bersenam dengan cara sederhana. Janganlah sepanjang berpantang asyik terbaring saja, ‘kembanglah’ jadinya. Rehat yang cukup juga amat penting untuk proses pemulihan.
Tempoh berpantang biasanya 40 hingga 100 hari. Bagaimanapun, kata pakar, ia bergantung kepada individu. Secara tradisinya, tempoh selepas bersalin sepatutnya berakhir enam minggu selepas kelahiran.
Merak Jalanan masih ingat kata-kata seorang doktor. Nak minum kopi pun boleh, katanya. Cuma, kita yang masih berpegang pada adat, tetap dengan cara kita.
Apa pun, terpulanglah kepada kepada ibu-ibu nak pilih cara yang mana.