Shah Alam sentiasa di hati Azli

Iklan
Azli

KUALA LUMPUR - Isu dihadapi penduduk di Shah Alam menjadi perkara yang sentiasa berada dekat di hati calon Pakatan Harapan (PH), Azli Yusof.

Graduan Pengurusan Kejuruteraan dari University of Missouri-Rolla, Amerika Syarikat (AS) yang dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata, pengalaman memberikan khidmat melalui penglibatan dalam politik, pentadbiran dan aktiviti sosial memberikan peluang untuknya menyelami masalah dihadapi penduduk setempat.

Iklan
Iklan

Azli, 55, yang merupakan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama tiga penggal pada tahun 2009 hingga 2012 dan 2014 hingga 2015.

Menurut Azli, sebagai Ahli Majlis, beliau memainkan peranan sebagai pembuat dasar dan individu yang menjadi wakil menghubungkan penduduk dengan majlis perbandaran tersebut.

Iklan

"Sebagai Ahli Majlis MBSA, kita menentukan polisi perlu dilakukan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), antaranya dalam membuat keputusan dari segi peruntukan, pelesenan, audit dan penilaian cukai taksiran.

"Di samping itu, sebagai Ahli Majlis MBSA, saya pernah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) bagi Zon 1 yang meliputi Seksyen 2, 3, 4, 14 dan Pusat Bandaraya Shah Alam serta Zon 6 meliputi Seksyen 17, 18 dan Padang Jawa.

Iklan

"Di situ saya bertanggungjawab menyelesaikan masalah dan berhubung dengan persatuan penduduk, kariah surau, peniaga serta penjaja. Jadi kita dengar masalah mereka dan berhubung dengan majlis untuk selesaikan,” katanya dalam satu temu bual bersama Sinar Harian.

Dalam pada itu, sebagai individu yang sememangnya terlibat aktif dengan aktiviti di surau dan masjid, Azli juga pernah dilantik sebagai nazir di Masjid Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam pada tahun 2012.

Ketua Amanah Bahagian Shah Alam itu berkata, ketika menjawat jawatan tersebut, beliau bertanggungjawab menyelaras khidmat disediakan di masjid dan surau yang diletakkan di bawah pemantauannya termasuk dalam isu memastikan kebajikan penduduk sekitar.

"Penyelarasan ini membabitkan contohnya dari segi orang nak kahwin dan nikah. Di samping itu, kita juga membantu pihak terbabit untuk mendapatkan bantuan daripada pusat zakat,” ujarnya yang merupakan anak kelahiran Sungai Besar, Selangor.

Azli berkata, pengalaman dalam bidang profesional selama kira-kira 25 tahun khususnya dalam sektor pengurusan projek dan industri sememangnya membantu menyediakan dirinya untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin.

"Bila bekerja dalam bidang profesional terutama saya yang terlibat dalam bidang pengurusan projek, ia tentunya melibatkan keperluan menguruskan dari segi penetapan pencapaian, garis masa, pembahagian waktu, kewangan dan sumber.

Azli (dua dari kanan) ketika mewakili Pusat Khidmat Parlimen Shah Alam membuat lawatan dan merasmikan Majlis Gotong-royong Sekolah Kebangsaan Seksyen 24 serta menyerahkan cek projek kecil peruntukan Ahli Parlimen Shah Alam.

"Jadi, bila sudah biasa menguruskan perkara itu, bagi saya tidak ada masalah untuk saya berkhidmat dengan masyarakat, menguruskan masa dan sumber diperlukan agar khidmat diberikan itu benar-benar dirasai,” katanya yang juga memiliki Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Selangor (Unisel).

Seimbangkan keperluan penduduk Shah Alam

Sebagai individu yang telah mengenali dan menetap di Shah Alam sejak tahun 1985, Azli berpeluang untuk melihat sendiri proses pembangunan di bandar tersebut yang mendapat status ibu negeri Selangor pada tahun 2000.

Malah, kesempatan untuk memimpin dan mentadbir di peringkat majlis perbandaran serta penduduk juga membolehkan beliau untuk memahami dengan lebih dekat isu dihadapi oleh masyarakat setempat.

"Dari segi demografi, saya melihat Shah Alam terbahagi kepada dua kumpulan. Pertamanya adalah mereka yang kita boleh golongkan berada dalam kumpulan menengah dan ke atas. Mereka tinggal di kawasan Seksyen 1 hingga 7 dan Seksyen 14.

"Kemudian satu lagi kumpulan adalah mereka yang kita boleh katakan secara umumnya merupakan kelas pekerja yang berpendapatan menengah dan ke bawah dan mereka ini menetap di sekitar Seksyen 15 hingga Seksyen 23,” ujar beliau.

Mengambil kira situasi tersebut, Azli berkata, terdapat keperluan untuk menyeimbangkan pembangunan yang dilaksanakan di Shah Alam agar ia mampu memenuhi keperluan kualiti hidup kedua-dua golongan tersebut.

"Maknanya mereka yang tergolong dalam golongan pekerja ini seharusnya mendapat manfaat daripada kemajuan Shah Alam ini dari segi infrastruktur, termasuk dari segi kemudahan tempat untuk mereka beriadah.

"Sebab sekarang ini mereka perlu pergi ke Taman Tasik Shah Alam untuk beriadah sedangkan di kawasan mereka pun ada tempat lapang yang mungkin boleh dibangunkan,” kata beliau.

Pada masa sama, Azli berkata, terdapat kawasan perumahan lama khususnya yang masih memiliki unit kediaman dua bilik, memerlukan proses pembangunan semula.

Menurutnya, langkah tersebut yang antara lain membabitkan kediaman flat di kawasan Seksyen 18 dan Seksyen 24 perlu dilaksanakan bagi memastikan ia selari dengan keperluan serta keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.

"Setakat ini ada beberapa tempat sudah dimulakan. Contohnya di Seksyen 16 di mana terdapat kediaman lama yang menempatkan hanya satu bilik sahaja.

"Jadi, di kawasan itu sudah ada dibangunkan semula dan dibina apartmen berstatus kos pertengahan,” jelas beliau. K


PROFIL


Nama: Azli Yusof

Tarikh lahir: 15 Mac 1967

Tempat lahir: Sungai Besar, Selangor


Keluarga:

- Noraini Abu Bakar (Isteri)

- Empat orang anak berusia 21 hingga 27 tahun (dua lelaki dan dua perempuan)


Pendidikan:

- Ijazah Pengurusan Kejuruteraan, University of Missouri-Rolla, AS

- Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Unisel


Jawatan:

- Timbalan Pengerusi Amanah Selangor (2019 - kini)

- Ketua Amanah Bahagian Shah Alam (2016 - kini)

- Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (2019 - kini)

- Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan (2018 - 2020)

- Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (2018 - 2020)Penglibatan Komuniti, Sosial dan KemanusiaanNazir Masjid Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam (2012)

- Imam Surau At Taqwa Seksyen 7, Shah Alam

- Pengasas dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Sekolah Rendah Islam Pintar