40 cawangan UMNO mahu Halimah kekal di Kota Tinggi

Iklan
Seramai 40 Ketua Cawangan UMNO Bahagian Kota Tinggi berkumpul menyatakan sokongan kepada Datuk Halimah untuk kekal di Parlimen Kota Tinggi.

KOTA TINGGI - Seramai 40 Ketua Cawangan UMNO Bahagian Kota Tinggi mahu penyandang kerusi Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang juga Menteri Perpaduan Negara terus mewakili Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Cawangan UMNO Tanjung Sedili, Hashim Muhammad berkata, Parlimen Kota Tinggi merupakan bahagian yang cukup istimewa kerana memberikan kemenangan yang besar kepada UMNO dan BN setiap kali PRU.

Iklan
Iklan

"Datuk Halimah seorang yang akrab dan mesra dengan penduduk di Parlimen Kota Tinggi. Beliau adalah individu yang benar-benar terbukti mampu meneruskan kepimpinan sebagai ahli Parlimen di sini.

"Parlimen Kota Tinggi bukan sahaja memiliki pengundi Melayu yang cukup ramai, tetapi ia juga mewakili masyarakat luar bandar dan peneroka Felda. Kami memerlukan pemimpin seperti Datuk Halimah yang bekerja keras membawa suara penduduk," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Kampung Gembut, Tanjung Sedili di sini pada petang Isnin.

Hashim berkata, 40 ketua cawangan UMNO terbabit turut bertindak mengumpulkan tandatangan dan menghantar surat menggesa Datuk Halimah kekal kepada pucuk pimpinan UMNO Pusat dan negeri.

HASHIM


"Surat telah dihantar kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi UMNO dan BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Iklan

Sementara itu, Ketua Cawangan UMNO Kampung Gembut Luar, Ramli Tarati berkata, Parlimen Kota Tinggi tidak sepatutnya dijadikan sebagai tempat persinggahan calon memandangkan ia merupakan kubu kuat UMNO dan BN yang tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang.

RAMLI


"Kami sudah cukup sebati untuk bekerjasama dengan Datuk Halimah. Pelbagai projek pembangunan dirancang untuk dimajukan di Parlimen Kota Tinggi antaranya di Pantai Teluk Mahkota.

"Semangat kerjasama ini diserlahkan lagi, sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu. DUN Sedili kembali semula kepada UMNO dan BN," katanya.

Pada PRU14 lalu, Halimah memperoleh majoriti sebanyak 14,621 undi dalam pertembungan dua penjuru.

Sebelum itu, timbul spekulasi melibatkan beberapa pemimpin 'heavyweight' daripada BN digugurkan daripada menjadi calon parti itu pada PRU15.

Ia melibatkan sebahagian besar anggota kabinet dari BN yang dilantik Ismail Sabri.

Antaranya ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (Ahli Parlimen Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh) dan Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi); Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara).