Penduduk, asnaf kecewa dipinggir dapatkan lot RPT

Iklan
Sebahagian penduduk yang menandatangani memorandum bantahan pengagihan lot RPT itu mengharapkan kerajaan negeri memberi perhatian terharap perkara tersebut.

BATU GAJAH - Lebih 60 penduduk sekitar Kampung Batu 7, Jalan Tanjung Tualang, di sini membantah pengagihan lot Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) tambahan yang didakwa tidak mengutamakan penduduk tempatan.

Seorang penduduk, Asri Zahari, 52, berkata, kebanyakan penduduk langsung tidak mengetahui tentang kewujudan RPT tersebut dan hanya dimaklumkan selepas proses undian lot tersebut ditularkan seorang penduduk menerusi status aplikasi WhatsApp.

Iklan
Iklan

Menurutnya, apabila ditanya dengan rakan-rakan lain, ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan RPT tambahan itu.

Perkara itu turut diakui seorang lagi penduduk, Mohamed Nasrul Ri, 45, yang kesal kerana kewujudan RPT itu tidak diuar-uarkan sedangkan ramai penduduk di sini tidak mempunyai rumah sendiri dan menumpang tanah orang lain.

Iklan

"Saya sendiri menumpang tanah pusaka dengan keadaan rumah yang dah uzur, jadi memang nak sangat mohon tanah supaya mudah nak dapatkan bantuan perumahan.

"Sepatutnya beritahu orang kampung supaya mereka yang layak dan tak ada tanah boleh mohon," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Changkat Mengkenan di sini baru-baru ini.

Iklan

Seorang asnaf, Abd Jalil Mohaiddin, 62, turut kecewa kerana dia sangat menginginkan tanah untuk membina rumah baharu.

Menurutnya, sebelum ini Yayasan Perak sudah meluluskan permohonan untuk membina rumah baharu.

Bagaimanapun katanya, permohonan itu ditolak disebabkan rumah didiami kini bukan dibina di atas tanah sendiri.

"Saya penerima bantuan bulanan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), jadi memang layak nak terima bantuan lain seperti rumah baharu dan sebagainya.

"Kalau asnaf macam saya pun tak diberi keutamaan untuk dapatkan lot tanah RPT, apatah lagi orang lain. Saya harap pertimbangkanlah perkara ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Hidayah Kampung Batu 8 Jalan Tanjung Tualang, Mohmad Fazar Fadzillah berkata, di dalam kariah masjid terdapat enam asnaf yang sepatutnya diberikan perhatian.

Menurutnya, mereka ini semua menumpang di tanah orang dan sukar untuk mendapat bantuan rumah baharu sebab tiada tanah sendiri.

"Saya amat kecewa dengan pelaksanaan RPT Tambahan Kampung Batu 7 tidak diberi peluang kepada ahli kariah dan asnaf.

"Surat bantahan dan memorandum daripada penduduk telah saya serahkan kepada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kinta untuk tindakan," katanya.

Menurutnya, semua proses pengagihan lot tersebut mesti ditangguhkan dan dikaji semula dengan campur tangan kerajaan negeri supaya penduduk mendapat keadilan sewajarnya.