KOTA KINABALU - Parti Cinta Sabah (PCS) bersedia untuk meletakkan calon dan seterusnya bertanding di Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Walaupun tidak menyebut siapa bakal calon di Parlimen Kimanis, namun kawasan itu amat sinonim dengan bekas ahli Parlimennya yang juga bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang kini memimpin PCS itu sendiri.
Timbalan Presiden PCS, Datuk Ansari Abdullah berkata, pelbagai pihak sudah berjanji manis di hadapan rakyat Kimanis pada PRU14 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu namun tidak pernah dilaksanakan.
"Sedihnya rakyat Sabah apabila janji hanya tinggal janji dan rakyat Sabah masih menunggu segala yang termaktub untuk dilaksanakan di Sabah sehingga hari ini.
"Oleh itu, atas desakan serta permintaan rakyat Sabah khususnya Kimanis, saya boleh jamin bahawa PCS hampir pasti bertanding di Parlimen Kimanis pada PRU15 ini," katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.
Katanya lagi, tujuan PCS bukan untuk merebut jawatan mahupun ganjaran tetapi apa yang penting adalah mendapatkan hak rakyat Sabah seperti apa yang termaktub secara keseluruhannya dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
"Kami mendapat pelbagai tawaran daripada pelbagai pihak namun demikian kami hanya bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti mahupun individu yang boleh membantu mencapai matlamat kami dan bukan hanya berjanji kosong.
"Kami rakyat Sabah sudah penat dijanji dan dipermainkan. Terlalu lama kekayaan bumi Sabah diambil dan tidak diberikan kembali demi kepentingan anak-anak jati Sabah.
"Mungkin sudah tiba masanya rakyat Sabah berubah arah ke pakatan baharu demi kepentingan dan hak rakyat Sabah.
"Jika Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang masing-masing mempunyai satu kerusi sahaja boleh bersuara kenapa tidak PCS," katanya.