PRU15: Calon disaran isi borang, buat semakan awal

Iklan
SPR

PUTRAJAYA - Bakal calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N66 Bugaya disaran agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan pejabat pegawai pengurus atau pejabat pilihan raya negeri sebelum hari penamaan calon, Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti.

Iklan
Iklan

'Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar," katanya.

Menurutnya, bakal calon yang mewakili parti politik diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran menggunakan simbol parti yang diwakili semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

Iklan

"Pada hari penamaan calon, hanya calon dan penyokong dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon (PPC)," katanya.

Beliau berkata, pada hari penamaan calon, kertas penamaan boleh diserahkan kepada pegawai pengurus di 222 PPC dari jam 9 hingga 10 pagi.

Iklan

"Kertas penamaan boleh diserahkan oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang atau seorang daripada mereka," katanya.

Ikmalrudin berkata, penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara adalah tidak dibenarkan.

"Ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Ujarnya, orang awam serta penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

"SPR menyeru kepada semua calon dan parti politik terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.