Yakin kekuatan calon muka baharu PKR di Pahang

Iklan
Fuziah Salleh

KUANTAN - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diumumkan bertanding di enam kerusi Parlimen di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memiliki kekuatan tersendiri dan mampu memberikan saingan kepada calon parti lain.

Penyandang Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang turut diumumkan sebagai calon untuk mempertahankan kerusi yang disandang selama tiga penggal itu berkata, selain beliau, lima lagi calon adalah muka baharu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, calon-calon yang diumumkan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang yang ada kelayakan, berkredibiliti dan berintergriti.

"Kita sedia maklum, Pahang sebuah negeri di bawah UMNO/BN justeru tidak mudah untuk melawan pengaruh parti itu bukan sahaja PKR atau PH malah kepada gabungan lain," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Iklan

Fuziah berkata, justeru senarai calon kerusi Parlimen Pekan, Bera, Jerantut, Rompin dan Indera Mahkota adalah yang terbaik dan memiliki kekuatan tersendiri untuk mencipta kejutan pada PRU15 di Pahang.

PKR mengumumkan enam calon bagi kerusi Parlimen di Pahang pada PRU15 termasuk Fuziah yang kekal di kerusi Parlimen Kuantan.

Iklan

Paling menjadi tumpuan calon PKR untuk kerusi Pekan, Mohd Naim Zainal Abidin yang dipertaruhkan bagi merampas kerusi disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sejak 1976 itu.

Beban berat digalas bekas Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abas Awang yang berdepan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bera.

Calon muka baharu lain terdiri Hassan Basri Awang Mat Dahan (Jerantut), Erman Shah Jaios (Rompin) dan Zuraidi Ismail (Indera Mahkota).

Sementara itu, Fuziah yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, cabaran yang dilalui untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuantan berbeza berbanding PRU14.

"Dalam setiap pilihan raya sudah pasti cabaran, strategi dan isu yang diberikan tumpuan juga berbeza justeru untuk PRU15 saya tidak nafikan laluannya bukan mudah.

"Sebagai antara calon yang kekal di kerusi sama selama empat penggal, sudah pasti gerak geri saya juga sentiasa 'diteropong' pelbagai pihak" ujarnya.

Fuziah berkata, saingan pada PRU15 mencabar kerana gabungan parti bertanding lebih jelas berbanding PRU14.

"Boleh dikatakan kali ini berlaku pertembungan sengit terutama dari tiga gerombolan besar terdiri PH,BN dan Perikatan Nasional (PN).

"Saya lihat banyak sentimen nasional dan setempat yang bakal mempengaruhi pengundi di negeri ini," katanya lagi.

Pada PRU14, Fuziah memperoleh 22,807 undi dan menang dengan majoriti 8,111 undi mengalahkan calon Pas, Sulaiman Md Derus (14,696 undi) dan calon BN dari MCA, Datuk Wong Kean Hwee (13,667 undi).