Media bebas: Beri maklumat, fakta secukupnya kepada pengundi

Iklan
Jason Leong

KUALA LUMPUR - Rakyat perlu diberi maklumat sepenuhnya berhubung keupayaan dan kelebihan semua parti bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) supaya pilihan tepat dapat dibuat sebaiknya demi masa depan negara.

Penasihat Association of Nexgen Christians of Malaysia (ANCOM), Jason Leong berkata, maklumat dan fakta yang secukupnya perlu diterima oleh orang ramai iaitu kumpulan pengundi tanpa ada sebarang pilih kasih atau sekatan.

Iklan
Iklan

Untuk itu katanya, kebebasan perlu diberikan kepada seluruh pihak media dalam memberi laporan buat semua parti bertanding pada PRU-15, tiada istilah pilih bulu diletakkan kepada mana-mana parti politik untuk bebas bersiaran menyampaikan maklumat kepada masyarakat umum.

"Kami Jawatankuasa Pemimpin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pelbagai Penganut Agama menyeru agar semua pihak menjunjung sebuah demokrasi yang matang supaya rakyat yang merupakan para pengundi diberi maklumat dan fakta yang secukupnya daripada semua pihak yang bertanding dalam PRU-15 nanti.

Iklan

"Tuntutan ini merupakan deklarasi kelima kami sebagai pemimpin dan NGO pelbagai agama iaitu Pengundi Diberi Maklumat dan Fakta Yang Secukupnya supaya rakyat boleh membuat penilaian sebaiknya, membuat pilihan terbaik dan seterusnya membolehkan pemimpin dipilih dapat melaksanakan manifesto seperti dijanjikan.

"Bagi mencapai tujuan tersebut, dengan ini semua calon dan parti perlu diberi ruang yang cukup dalam media kerajaan dan swasta untuk menyampaikan mesej dan manifesto masing-masing kepada pengundi," katanya yang ditemui baru-baru ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Leong berkata, demokrasi memerlukan kebebasan rakyat untuk menyatakan pandangan mereka dalam domain awam.

Jelasnya, perkara seumpama itu memberi mereka peluang untuk menggunakan hak melibatkan diri dalam perbincangan atau perdebatan, menawarkan kritikan yang boleh menyumbang kepada kebaikan bersama masyarakat.

Sehubungan itu katanya, dialog awam adalah penting kepada rakyat dan ahli politik kerana ia adalah satu proses untuk membuat keputusan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

Dalam konteks ini menurutnya, peranan media massa menjadi semakin menonjol kerana mereka dijangka menyediakan platform yang diperlukan untuk wacana awam.

"Ketika mana usaha rakyat meluahkan perasaan mereka dengan secukupnya, suatu yang penting bagi mereka untuk mempunyai kemudahan dan akses sama rata kepada media yang bebas dan bertanggungjawab.

"Tidak boleh dinafikan bahawa media massa termasuk media kerajaan dan swasta mempunyai pengaruh besar ke atas rakyat dan kumpulan pengundi untuk menerima apa jua fakta sepanjang tempoh berkempen," katanya.

Tambah Leong lagi, sekiranya media bebas dan adil, ia akan membawa suatu situasi di mana pengundi boleh membuat pilihan terbaik daripada kumpulan-kumpulan calon atau parti yang bertanding dalam PRU-15 ini.

Menurutnya, pengundi akan dapat maklumat mencukupi berkaitan dengan calon dan parti politik yang bersaing, khususnya daripada sebuah media yang adil dan bebas.

Jelasnya, jika terdapat fitnah terhadap sesiapa sekali pun, pihak media sepatutnya memberi hak untuk membalas kepada pihak yang difitnah atau memberikan hak untuk membalas kepada pihak yang telah dikritik atau dihentam dengan keras.

"Kami menyeru media arus perdana serta semua media bebas yang lain untuk memainkan peranan yang baik di mana semua calon dan parti diberi ruang serta masa yang cukup untuk menyampaikan mesej dan manifesto masing-masing kepada pengundi.

"Selain itu, kami juga menyeru agar semua media mematuhi kod etika profesional mereka terutama untuk menyediakan akses percuma dan adil kepada semua pihak, seterusnya tidak berlaku penyelewengan," katanya.