AMPANG - [DIKEMAS KINI] Parti Warisan (Warisan) mengumumkan akan bertanding sebanyak 26 kerusi Parlimen di Semenanjung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada 19 November ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung, parti itu akan bertanding sebanyak 16 kerusi setakat ini.
Menurutnya, ada beberapa lagi tempat yang belum diumumkan nama calon dan kawasan untuk ditandingi oleh parti itu.
"Saya dah katakan tadi, sebelum 5 haribulan (penamaan calon). (Parlimen) Arau saya belum putuskan siapa calonnya. Ada sesetengah tempat belum lagi kita putuskan.
"Saya belum habis lagi putuskan mana kerusi yang kita perlu bertanding. Contoh di Sungai Petani kita belum putuskan siapa nak jadi calon di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Memperkenalkan Calon-Calon Warisan Bagi Kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia Dalam PRU15, di sini pada Selasa.
Antara nama-nama besar dipertaruhkan oleh Warisan ialah bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Ong Tee Keat di Parlimen Pandan bagi mencabar calon Pakatan Harapan (PH) iaituTimbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.
Turut dicalonkan, bekas ahli Parlimen PKR, Wee Choo Keong yang bertanding di Wangsa Maju dan bekas Ahli Parlimen DAP, Ooi Chuan Aun atau lebih dikenali Jeff Ooi di Bayan Baru.
Menurut Mohd Shafie, tokoh-tokoh yang diumumkan adalah tergolong daripada anak muda, berkelulusan dan berpengalaman luas dalam pentadbiran.
"Ada doktor, akauntan, bekas menteri, bekas presiden parti. Ini satu gabungan yang saya yakin boleh kita paparkan kepada rakyat Malaysia
Meskipun pernah berhadapan dengan kekalahan di enam DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mohd Shafie yakin parti berkenaan mempunyai penyokong berdasarkan sambutan di negeri itu.
"Walaupun kita sedar tidak ada kerusi menang ketika bertanding di (PRN) Johor tapi ada beberapa ribu menyokong Warisan walaupun dalam tempoh tiga minggu berkempen.
"Hari ini ada sesetengah kawasan mereka gemar memilih calon bebas bukan setakat kepartian. Ada sesetengah tempat sudah berlaku sebelum ini. Di Johor, pernah ada calon Bebas menang Parlimen,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Shafie turut mengulas faktor partinya menolak bergabung dengan gabungan parti di negara ini.
"Daripada saya bergabung dengan parti, baik saya bergabung dengan rakyat. Maka dengan itu, Warisan menawarkan tanpa ada gabungan dan kita lihat keadaannya,” katanya.
Senarai calon Parlimen Parti Warisan (Warisan):
PERLIS
P01 Padang Besar - Ko Chu Liang
P02 Kangar - Rohimi Shapiee
P03 Arau (Bakal diumumkan kelak)
KEDAH
P08 Pokok Sena - Noraini Md Salleh
P09 Alor Setar - Datuk Fadzil Hanafi
P10 Kuala Kedah - Syed Araniri Syed Ahmad
P14 Merbok - Khairul Anuar Ahmad
P17 Padang Serai - Mohd Bakhri Hashim
PULAU PINANG
P42 Tasek Gelugor - Mohd Akmal Azhar
P46 Batu Kawan - Ong Chin Wen
P50 Jelutong - Martin Lim Huat Poh
P52 Bayan Baru - Jeff Ooi Chuan Aun
PERAK
P71 Gopeng - Dr Balachandran Gopal
P72 Tapah - Mohamed Akbar Sherrif Ali Yasin
P74 Lumut - Mohd Isnin Ismail
SELANGOR
P99 Ampang - Bryan Lai Wai Chong
P100 Pandan - Tan Sri Ong Tee Keat
P101 Hulu Langat - Datuk Abdul Rahman Jaafar
P110 Klang - Dr Loo Cheng Wee
KUALA LUMPUR
P114 Kepong - Young Shang Yi
P115 Batu - Naganathan Pillai
P116 Wangsa Maju - Wee Choo Keong
NEGERI SEMBILAN
P129 Kuala Pilah - Datuk Azman Idris
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Parti Warisan (Warisan):
PERLIS
N01 Titi Tinggi - Khaw Hock Kong
N02 Beseri - Mohd Shamim M Nordin
N06 Bintong - Mohamad Khair Mohd Noor
N07 Sena - Ko Chu Liang
N08 Indera Kayangan - Atan Jasin
N09 Kuala Perlis - Muhamad Hairi Noordin
N10 Kayang - Khairuddin Abdullah
N11 Pauh - Khalid Ahmad
N14 Simpang Empat - Wan Noralhakim Shaghir Saad
PERAKN44 Sungai Rapat - Roshanita Mohd Basir
N45 Simpang Pulai - Hooi Mi Suet
N46 Teja - Low Leong Sin
N47 Chenderiang - Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali
N48 Ayer Kuning- Noor Hasnida Mohd Hashim
N51 Pasir Panjang - Nur Inderasyawalis Ahmad Mukhtar
N52 Pangkor - Yahaya Ahmad