JBPM periksa premis percetakan kertas undi

Iklan
Mohammad Hamdan (dua dari kiri) melihat peralatan Automatic Fire Monitor 1200/1800 Series jenis Abei yang dipamerkan pada Seminar Undang - Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) Peringkat Zon Utara, Jabatan Bomba dan Penyelamat pada Selasa. - Foto Bernama
GEORGETOWN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mula menjalankan pemeriksaan di premis-premis Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) yang mengendalikan proses mencetak kertas undi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memastikan ia selamat terutama dari aspek kebakaran.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pemeriksaan telah dijalankan di beberapa premis di Kuala Lumpur dan seterusnya ia turut melibatkan pemeriksaan di premis agensi tersebut di negeri-negeri lain sehingga sebelum hari pengundian PRU15 pada 19 November nanti.

"Apabila diumumkan PRU15 akan berlaku, satu obligasi pihak bomba ialah menjalinkan kolaborasi dengan pusat percetakan yang dilantik iaitu PNMB, iaitu pihak tersebut mencetak kertas undi dan JBPM berperanan memeriksa premis tersebut bagi memastikan premis tersebut bebas daripada risiko kebakaran.

"Pemeriksaan keselamatan kebakaran ini juga dijalankan untuk memastikan kertas-kertas undi yang dicetak disimpan ditempat yang selamat dan bebas daripada sebarang risiko, kami dah mulakan pemeriksaan di premis di Kulau Lumpur minggu lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) Peringkat Zon Utara di sini pada Selasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November dengan penamaan calon pada 5 November, manakala pengundian awal pada 15 November ini.

Mohammad Hamdan berkata, pegawai dan anggota bomba di seluruh negara juga diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di premis-premis mencetak kertas undi ini dan dalam masa sama menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi-lokasi yang telah diwartakan sebagai pusat pengundian PRU15 kerana pihaknya tidak mahu berlaku sebarang risiko.

"Kami tidak mahu apabila kertas-kertas undi ini dicetak, kemudian berlaku pula kebakaran, jika ini berlaku ia akan merencatkan penghasilan kertas undi dan kami juga akan menjalankan pemeriksaan di tempat pengiraan undi bagi mengelak berlakunya sebarang risiko berkaitan kebakaran atau sebagainya yang boleh membahayakan petugas ketika mengira undi," katanya.

Katanya, semua pegawai dan anggota bommba juga diletakkan dalam tahap siap sedia yang tinggi dalam tempoh seminggu selepas keputusan PRU15 diumumkan bagi memastikan keselamatan semua pihak.

"Ketika tempoh ini, pihak bomba akan berada pada mode siap sedia yang tinggi dan selalunya kita bergerak bersama-sama dengan pihak polis. Sebab itu, cuti seramai 12,500 anggota bomba di peringkat operasi juga telah dibekukan sehingga 30 November ini sebagai persediaan menghadapi PRU15 termasuk persediaan berdepan dengan banjir," katanya. - Bernama