Rafiq, Syafiq galas cabaran boling Piala Dunia

Iklan
Rafiq akan menyertai Kejohanan Boling Piala Dunia di Australia pertengahan November ini. - Foto Agensi

BEKAS juara dunia Muhammad Rafiq Ismail dan juara Piala Dunia 2012 Mohd Syafiq Ridhwan Abdul Malek adalah antara nama besar yang akan membawa cabaran negara ke Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2022 di Australia pada 11 hingga 23 November ini.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok berkata, kejohanan berlangsung di Queensland itu adalah acara berpasukan yang menawarkan mata ranking untuk pasukan dan individu.

Iklan
Iklan

"Kejohanan berlangsung mengikut format Baker dengan pertembungan satu lawan satu untuk penentuan juara. Ia adalah format panjang dengan banyak perlawanan perlu diharungi dan berlangsung selama 13 hari," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Format Baker menyaksikan pemain dalam pasukan bergilir-gilir membuat balingan mengikut susunan bingkai.

Iklan

Walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran, Maradona yang juga pengurus pasukan kebangsaan yakin kesemua atlet negara akan bermain bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan podium.

"Kesemua atlet boling kita sama standard dan boleh menghasilkan podium. Dalam boling, persaingan adalah sangat rapat," katanya.

Iklan

Skuad negara akan berlepas ke Australia pada 7 November ini. - Bernama

Berikut senarai atlet boling yang mewakili Malaysia ke Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2022:

Lelaki:

1. Muhammad Rafiq Ismail

2. Timmy Tan

3. Tun Hakim Tun Hasnul Azam

4. Mohd Syafiq Ridhwan Abdul Malek

Wanita:

1. Sin Li Jane

2. Natasha Roslan

3. Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman

4. Esther Cheah