Pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 bukan tindas pekerja

Iklan
Datuk Seri M Saravanan. - Foto Bernama
TAPAH - Pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 di Parlimen sebelum ini bukan untuk menindas golongan tersebut sebaliknya bagi menambahkan persatuan yang ada di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, ia sekali gus membuka lebih banyak peluang dan ruang bagi golongan pekerja menyertai mana-mana persatuan yang ada demi kebajikan mereka.

"Kalau kita lihat kesatuan sedia ada dari segi keanggotaan walaupun ada 15 juta pekerja tetapi tidak sampai 10 peratus pun jadi ahli.

"Sebab ada yang membelot dan sebagainya maka kita buka untuk menambahkan persatuan iaitu ramai boleh menyertai.

"Ini satu usaha baik dan ini adalah budaya antarabangsa yang dikenali melalui Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” kata timbalan presiden MIC itu selepas menyampaikan sumbangan Deepavali pada Selasa.

Saravanan berkata, pindaan akta tersebut juga bukan diluluskannya seorang sahaja tetapi sebulat suara oleh majoriti Dewan Rakyat ketika dibentangkan pada awal bulan lepas.

Pengerusi Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU), Rudy Rusly dalam satu kenyataan mendakwa, pindaan akta tersebut menunjukkan Saravanan dan timbalannya Datuk Halimah Mohamed Sadique telah mengkhianati amanah 15 juta pekerja sehingga melemahkan Kesatuan Sekerja.

Pada 5 Oktober, Dewan Rakyat meluluskan pindaan ke atas Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262), bertujuan membenarkan kepelbagaian kesatuan sekerja dalam mana-mana penubuhan, tred, pekerjaan atau industri, serta meningkatkan keahlian dalam kesatuan sekerja.

Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 itu diluluskan selepas dibahas oleh 15 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ketika membuat penggulungan RUU berkenaan, Saravanan berkata, pindaan itu akan memberi kebebasan kepada pekerja untuk menyertai atau menubuhkan kesatuan mengikut pilihan mereka sendiri.

Justeru, pekerja bebas memilih mana-mana kesatuan yang ingin disertai mereka, tertakluk kepada perlembagaan kesatuan berkenaan, kata Saravanan. - Bernama