PETALING JAYA – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menganggap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang menggelarnya sebagai pembohong dan penipu tahap 'gaban' adalah perkara kecil.
Sebaliknya Rafizi yang merupakan calon PKR Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyambut baik sekiranya bekas Ahli Parlimen Mersing itu mahu membuat laporan polis ke atasnya.
Rafizi berkata, sekiranya lebih banyak laporan polis dibuat, maka mudah untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan, sekali gus memperoleh bukti untuk mensabitkan Abdul Latiff dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS).
"Tidak, saya tidak takut dan saya tidak akan tutup mulut. Malah bermula hari ini, saya akan memberi tumpukan berkaitan isu LCS dalam kempen menjelang PRU15,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, Abdul Latiff menggelar Rafizi sebagai penipu tahap 'gaban' selain mengingatkan beliau bukan cacing dan tidak tinggal dalam lubang.
Dalam pada itu Rafizi menegaskan, beliau sedang menunggu saman sivil daripada bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu selepas mendedahkan penglibatannya dalam skandal LCS menerusi sebuah syarikat palsu.
"Saya juga mengambil maklum kenyataan Abdul Latiff minggu ini bahawa beliau mempunyai tempoh masa enam tahun untuk mengemukakan saman sivil terhadap saya.
"Saya harap beliau tidak menggunakan taktik yang sama seperti Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjanji menyaman Wall Street Journal, tetapi sehingga ke penjara belum memfailkan saman itu,” katanya.
Sementara itu ketika diminta mengulas pengumuman Abdul Latiff untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Mersing pada PRU15, Rafizi mengingatkan itu tidak bermakna beliau bebas dari tuduhan skandal LCS.
"Saya harap rakyat Malaysia bersabar sementara saya terus meneliti kes ini sehinggalah tangan-tangan ghaib yang menggugat keselamatan negara dibawa ke muka pengadilan.
"Pengalaman saya menunjukkan usaha untuk membongkar tangan-tangan ghaib di sebalik skandal besar negara selalunya mengambil masa yang cukup lama.
"Sebab itu, bermula hari ini, saya ingin kembali memberi perhatian kepada skandal pertahanan negara iaitu LCS dan pembelian Meriam Howitzer (SPH) yang telah saya dedahkan sebelum ini,” ujarnya.