LUMUT - Dua mangsa insiden runtuhan kren gantri di Kawasan Perusahaan Kampung Acheh, Sitiawan pada Isnin disifatkan seorang anak yang baik dan rajin bekerja.
Seorang daripada mereka, Maiyden Asibin, 29, merupakan anak yatim piatu dan sanggup merantau jauh dari kampung halamannya di Kampung Likas, Kota Kinabalu ke Sitiawan untuk mencari rezeki.
Sepupu kepada Maiyden, Abu Bakar Hasim, 45, berkata, arwah yang masih bujang seorang yang rajin bekerja dan sangat menjaga hubungan dengan saudara-mara lain meskipun telah kematian ibu bapa.
"Dulu setiap kali datang ke Kuala Lumpur, mesti dia akan menginap di rumah saya di Selayang.
"Sudah lebih setahun kami tidak berhubung kerana masing-masing sibuk bekerja sampailah saya mendapat tahu berita sedih ini," katanya ketika ditemui di Hospital Seri Manjung di sini pada Selasa.
Jenazah Maiyden akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Fasa 3C, Seri Manjung, di sini.
Selain Maiyden, insiden sekitar jam 4.45 petang itu turut mengorbankan rakan sekerjanya, Abdul Rajim Hamski, 33.
Adik mangsa, Norlia Hamski, 29, berkata, berita pemergian abangnya itu begitu mengejutkan ahli keluarga terutama ibu bapa mereka sehingga tidak sanggup datang ke hospital bagi proses tuntutan jenazah.
Katanya, walaupun mereka keluarga berasal dari Tenom, Sabah, namun sudah menetap di Masai, Johor, sejak kecil.
"Abang seorang yang agak pendiam tetapi baik hati dan sayang kepada keluarga.
Jenazah Abdul Rajim telah dibawa ke Johor bagi proses pengebumian.
Rakan baik mangsa, Arbi Mat Salleh, 42, yang hadir memberi penghormatan terakhir berkata, Allahyarham Abdul Rajim seorang yang sangat baik, ringan tulang dan sentiasa sedia membantu kawan-kawan yang dalam kesusahan.
"Saya mengenali Abdul Rajim ketika sama-sama bekerja di Kuala Lumpur dan arwah baru datang ke Seri Manjung kira-kira tiga bulan lalu untuk bekerja," katanya.
Polis sebelum ini memaklumkan, kejadian itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja-kerja pemotongan kren.
Namun secara tiba-tiba bahagian atas hujung kren terbalik dan terjatuh lalu menghempap mangsa menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian.
Semasa kejadian terdapat empat pekerja berada di tempat kejadian, bagaimanapun seorang daripada mereka berusia 34 tahun terselamat dan seorang lagi juga berusia 34 tahun mengalami patah kaki kanan.