TENOM - Empat pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan dua anggota polis bantuan yang terperangkap selama 12 jam di kawasan stesen janakuasa Hidro Pangi dekat sini, berjaya diselamatkan pada pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, semua individu lelaki berusia antara 29 hingga 59 tahun itu terperangkap sejauh lima kilometer dari pagar utama susulan kejadian tanah runtuh sehingga menyebabkan jalan serta pagar utama bangunan tertimbus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mohd Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.30 pagi.
Katanya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh sembilan kilometer dari BBP Tenom.
"Terdapat enam mangsa lelaki dilaporkan terperangkap sejak jam 9 malam tadi (Isnin) di kawasan Power House yang terletak sejauh lima kilometer dari pagar utama bangunan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, pasukan bomba terpaksa berjalan kaki ke lokasi mangsa dan berjaya menemui mereka kira-kira satu kilometer dari pagar utama.
"Semua mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat dan pemeriksaan turut dilakukan bagi memastikan kawasan itu tidak menyebabkan bahaya lain berlaku.
"Pekerja dan orang awam juga dinasihatkan untuk tidak memasuki kawasan tanah runtuh berkenaan," katanya.
Sementara itu, SESB mengesahkan berlaku beberapa kejadian tanah runtuh di sepanjang jalan masuk ke Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, kejadian itu membawa limpahan air dan bongkahan batu besar sehingga menembusi jalan masuk dan 'gate intake' berikutan hujan lebat yang berterusan sejak Isnin.
"Akibat kejadian itu, SESB terpaksa menutup operasi stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi dan masih memeriksa keadaan serta menilai kerosakan.
"Bagaimanapun, kejadian ini tidak menjejaskan bekalan elektrik kepada Sistem Grid Sabah dan SESB telah mengaktifkan pelan tindak kecemasan telah diaktifkan.
"Semua anggota kerja telah selamat dipindahkan tanpa mengalami sebarang kecederaan," jelasnya.
Sebelum itu, hujan berterusan dan disusuli ribut sejak petang Isnin di beberapa kawasan di Sabah termasuk di Tenom dan menyebabkan stesen janakuasa di daerah itu terjejas selain tular di media sosial.