SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan calon pemimpin dan Perdana Menteri yang terbaik untuk mentadbir negara.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Dr Kevin Yii Lee Wuen berkata, secara prinsipnya, Malaysia ketika ini memerlukan kestabilan dan sistem tadbir urus kerajaan yang baik.
Menurutnya, ketua pembangkang itu juga pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan terbaik di Asia.
"(Antaranya) kita ada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan ramai lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berdebat pada program Berani Semuka bertajuk Anak Muda Pilih Siapa? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Program berkenaan turut menampilkan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari, sebagai pendebat dan personaliti televisyen, Amin Idris selaku moderator.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Kevin yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) berkata, Angkatan Muda Harapan akan memfokuskan kepada pelaksanaan tiga tunjang utama.
Jelasnya, ini termasuklah menjamin kesejahteraan rakyat, mewujudkan pentadbiran yang amanah dan mempersiapkan negara untuk cabaran pada masa akan datang.
"Kita ingin menjamin kesejahteraan rakyat secara holistik dengan menjana pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan mampan.
"Kedua, mewujudkan pentadbiran yang amanah, memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
"Seterusnya, kita mahu mempersiapkan negara untuk cabaran pada masa hadapan sama ada memperkasakan rakyat untuk menghadapi isu perubahan iklim, banjir, kestabilan makanan dan sebagainya," ujar beliau.