Pendakwaan fail rayuan terhadap pembebasan Shafee

Iklan
Shafee
PUTRAJAYA - Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, semasa dihubungi, mengesahkan notis rayuan difailkan pada Selasa.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tidak ada langsung keterangan menunjukkan wujudnya perlakuan predikat (aktiviti haram) dan daripada mana wang tersebut diperoleh.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad dikeluarkan Najib yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Peguam itu juga didakwa terhadap dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015. - Bernama