YANGON - MYANMAR. Pertempuran antara tentera Myanmar dan pemberontak etnik Rakhine yang menggelarkan diri mereka sebagai Tentera Arakan (AA) semakin sengit di bandar Mrauk U, menurut sumber, hari ini.
Tentera didakwa turut melancarkan serangan udara menyasarkan bandar itu yang menyaksikan perpecahan etnik dan telah menjadi pusat kempen ketenteraan pada 2017 hingga memaksa kira-kira 740,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Penduduk Mrauk U, Khin Than menerusi panggilan telefon berkata, insiden pertempuran itu bermula kira-kira jam 10 malam (waktu tempatan), semalam dan disifatkan paling buruk.
"Ia makin serius. Ramai orang takut untuk tinggalkan rumah masing-masing," ujarnya.
Dalam satu kenyataan lain, jurucakap AA, Khine Thukha mengesahkan mereka memasuki semula Mrauk U untuk melancarkan serangan balas.
"Tentera menggugurkan bom dari jet pejuang dan helikopter," katanya.
Sementara itu, jurucakap tentera, Kolonel Win Zaw Oo mengesahkan pertempuran itu, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Sejak Januari lalu, sekurang-kurangnya 22 anggota polis dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan AA hingga menyebabkan ribuan tentera ditempatkan di bandar itu untuk mengawal situasi yang semakin meruncing.
Sebelum ini, tentera telah berikrar untuk menumpaskan kumpulan pemberontak itu yang ditubuhkan sedekad lalu dan mendapat sokongan meluas etnik Rakhine. - AFP