Haniff Khatri tidak bertanding dalam PRU15

Iklan
Haniff Khatri

GEORGETOWN - Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Mohamed Haniff berkata, beliau bukan tidak mahu bertanding sebaliknya tidak berhak untuk menjadi calon selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan kerana menghina Mahkamah Persekutuan dan telah dikenakan denda sebanyak RM 30,000 dalam satu kes sivil berbentuk komersial pada 4 Januari 2021.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mengikut Perkara 48 Fasal 1(e), sesiapa yang telah disabit bersalah dengan hukuman tidak kurang daripada satu bulan penjara atau tidak kurang daripada RM 2,000 akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

"Dengan berat hati dan cukup kesal, saya perlu menjelaskan bahawa saya bukannya tidak mahu bertanding di PRU15, tetapi 'tidak berhak' untuk menjadi calon pada PRU15 di atas 'kekangan' peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu.

Iklan

"Persoalannya, adakah hukuman denda di bawah prosiding penghinaan sivil tersebut menghalang atau mengekang kelayakan saya sebagai calon untuk bertanding di PRU15?," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohamed Haniff berkata, beliau sememangnya mahu melaksanakan pemulihan sistem tadbir urus negara di Dewan Rakyat dengan bertanding dalam PRU15 namun dikekang oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

"Sejak empat tahun lalu, sistem tadbir urus negara telah dicemari dengan pelbagai sifat-sifat negatif dan kotor yang mengakibatkan kesejahteraan rakyat sertakepentingan negara diabaikan. Negara terus jatuh terjunam hampir ke lembah hina disebabkan tindak-tanduk hampir kesemua para pemimpin politik yang menerajui kerajaan, lebih-lebih lagi selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020.

"Ramai yang bertanya adakah PRU15 akan membuka laluan untuk saya bertanding sebagai calon bagi tujuan meneruskan perjuangan dan memainkan peranan secara terus di medan Dewan Rakyat.

"Namun malangnya, usaha saya itu dikekang oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Januari tahun lalu, Mohamed Haniff didenda RM30,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Persekutuan kerana menghina mahkamah selepas tidak menghormati Mahkamah Persekutuan dalam kes pertikaian harta.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Abdul Rahman Sebli juga turut mengenakan denda masing-masing RM50,000 atau penjara sebulan terhadap tiga individu yang juga rakan kongsi firma pemberi pinjaman wang berlesen atas kesalahan sama.