GOMBAK - Kerajaan negeri merancang untuk membuat pembangunan semula rumah transit Kampung Sungai Kertas di sini sebagai penyelesaian isu penempatan buat penduduk di kawasan itu yang telah berlarutan lebih 20 tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tanah tersebut adalah di bawah hak milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan perbincangan mengenai cadangan pembangunan semula tanah tersebut sedang berjalan serta akan diperincikan dijangka pertengahan tahun hadapan.
Menurutnya, penduduk rumah transit tersebut sepatutnya tinggal dalam tempoh dua tahun sahaja namun beberapa masalah yang timbul telah menyebabkan 130 keluarga menetap di sana melebihi 20 tahun.
"Asalnya perumahan ini merupakan rumah transit untuk peneroka bandar yang terpaksa dipindahkan kerana tinggal di rizab sungai atau tanah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Kebanyakan penduduk dari Hulu Klang yang dipindahkan sementara sebelum rumah mereka disiapkan. Ada sebahagiannya terpaksa kekal tinggal di sini disebabkan rumah mereka tidak siap" katanya ketika mengadakan pertemuan bersama penduduk rumah transit Kampung Sungai Kertas pada Selasa.
Beliau berkata, kerajaan merancang membeli tanah itu daripada MAIS bagi tujuan tersebut dan akan memberikan tanah gantian kepada MAIS untuk dibangunkan sebagai institusi Islam.
"Saya sedang mengadakan perbincangan dengan MAIS supaya tapak ini boleh dikontra, (digantikan tanah) yang lebih sesuai dibangunkan untuk institusi islam.
"Sementara tanah di sini boleh dibangunkan semula buat penduduk rumah transit yang telah sekian lama tinggal di sini.
Pada masa sama katanya, kerajaan negeri juga dalam proses menyediakan rumah transit baharu di Gombak Permai bagi pemindahan penduduk terlibat bagi memberi laluan kepada pembangunan semula di tapak asal.
"Ini adalah salah satu dari perancangan kita, rumah kos rendah itu sedang dibina dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) telah membelinya.
"Kerajaan negeri boleh berunding dengan (LPHS) untuk pindahkan penduduk terlibat sementara membangunkan kawasan ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Rumah Transit Kampung Sungai Kertas, Haslinda Daud berkata, cadangan pembangunan semula kawasan itu merupakan langkah baik yang disokong penduduk setempat.
"Kalau boleh kami mahu tinggal di sini tapi MB (menteri besar) kata (rumah sekarang) tidak kondusif untuk diduduki jadi perkara tersebut akan dibincangkan untuk kemudahan penduduk.
"Harap penduduk dapat terima cadangan tersebut dengan hati terbuka dan berharap ia tidak membebankan kerana kebanyakan yang tinggal di sini adalah golongan berpendapatan rendah (B40).
"Ada yang telah berusia lebih 60 tahun, bagaimana untuk membeli rumah? Dari situ akan ada perbincangan kerajaan negeri dengan pemaju untuk mendapat solusi terbaik," katanya.