PRU15: PKR Sarawak umum 16 calon

Iklan
PKR pada Selasa menampilkan 16 calonnya yang bakal berentap bagi kerusi Parlimen pada PRU15 di Sarawak atas tiket PH.
KUCHING - PKR pada Selasa menampilkan 16 calonnya yang bakal berentap bagi kerusi Parlimen di Sarawak atas tiket Pakatan Harapan (PH), pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengumumkan perkara berkenaan di sebuah hotel di Miri, Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyandang kerusi Parlimen Miri selama dua penggal Michael Teo, tidak tersenarai calon bagi memberi laluan kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan Sarawak, Chiew Choon Man.

Selain itu, Anwar memaklumkan, Pengerusi PKR Sarawak, Roland Engan dan timbalannya, Abun Sui Anyit, masing-masing bakal bertanding di Parlimen Baram dan Hulu Rajang.

Dalam pada itu, Anwar dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa berkata, sokongan rakyat Sarawak terhadap parti itu diperlukan, bagi memberi peluang kepada PH melaksanakan kerja baik di peringkat Persekutuan, seterusnya membwa perubahan di negeri itu.

"Kesemua mereka yang akan bertanding di bawah panji Pakatan Harapan, perlu kerja keras bersama jentera dalam memastikan rakyat mendapat pendedahan mengenai agenda yang kita perjuangkan,” menurut hantaran itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon 5 November dan pengundian awal pada 15 November ini.

Berikut ialah senarai calon PRU15 PH-PKR di Sarawak:

P194 Petra Jaya - Sofian Julaihi

P198 Puncak Borneo - Dig Dios

P202 Sri Aman - Tay Wei Wei

P203 Lubok Antu - Langga Lias

P204 Betong - Patrick Khamis

P205 Saratok - Ibil Jaya

P210 Kanowit - Mohd Fauzi Abdullah@Joseph

P213 Mukah - Abdul Jalil Bujang

P214 Selangau - Umpang Salang

P215 Kapit - Khusyairy Pangkas Abdullah

P216 Hulu Rajang - Abun Sui Anyit

P218 Sibuti - Zolhaidah Suboh

P219 Miri - Chiew Choon Man

P220 Baram - Roland Engan

P221 Limbang - Racha Balang

P222 Lawas - Japar Suyut

- Bernama