KUALA LUMPUR - Seramai 160 calon yang akan mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini mengangkat sumpah untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.
Bacaan ikrar dan aku janji itu diketuai calon Parlimen Rembau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Antara intipati angkat sumpah itu adalah akan taat setia melindungi dan mempertahankan kedaulatan negara, tidak mengkhianati amanah, tidak menyalahgunakan kuasa dengan mengambil rasuah dan sebagainya.
Calon-calon juga berbai’ah dan bersumpah untuk mematuhi segala terma-terma dalam kontrak dengan parti sebagai mana yang telah ditandatangani.
Turut terkandung dalam angkat sumpah itu adalah calon yang dipilih juga perlu meletakkan jawatan dari menjadi ahli Dewan Rakyat apabila keluar atau dipecat daripada parti.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan sebelum itu berkata, tiga prinsip utama yang perlu dipikul calon parti itu apabila berjaya memenangi kerusi yang ditandingi pada PRU15 nanti.
Beliau berkata, tiga prinsip itu adalah taat, tetap khidmat dan muafakat.