Hampir kesemua calon BN miliki kelayakan akademik tinggi

Iklan
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di WTCKL pada Selasa.
KUALA LUMPUR - Lebih 85 peratus calon yang bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mempunyai kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti turut menampilkan wajah-wajah segar dan berpengalaman untuk menggalas amanah sebagai pemimpin yang akan berkhidmat kepada rakyat.

"Ini adalah amanah maha berat, yang bukan hanya akan dihakimi oleh rakyat, tetapi akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di akhirat kelak.

"Saya amat sedar, sementara kepentingan politik dalaman BN menjadi perkiraan dalam soal penentuan calon, namun tuntutan memulihkan kesuraman negara dan mengangkatkan kembali agenda mensejahteraan rakyat adalah lebih tinggi daripada kepentingan politik individu dan kepartian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Selasa.

Tambah Ahmad Zahid, calon-calon yang diketengahkan adalah gandingan muka baharu dan lama serta mempunyai kekuatan rekod berbakti kepada rakyat dan kesegaran idea.

Jelasnya, dengan demografi pengundi yang semakin remaja, iaitu 51.4 peratus daripada kira-kira 21 juta pengundi, berumur antara 18 hingga 40 tahun, adalah menjadi tanggungjawab BN, meletakkan gandingan yang membimbing dan dibimbing.

"Keseimbangan ini penting kerana BN bukanlah parti yang kelangsungan hayatnya, bergantung kepada pendekatan populis,” katanya.