105 warga Israel dibenar masuk Malaysia sejak 2016

Iklan
Azis Jamman - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seramai 105 warga Israel dibenarkan memasuki negara ini dari tahun 2016 hingga Mac tahun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata kemasukan mereka berdasarkan asas pertimbangan sama ada memberi manfaat kepada negara dari segi ekonomi, teknologi, pendidikan, sosial dan pembuatan.

Iklan
Iklan

"Pada 2016, seramai 33 warga Israel diberi kebenaran atas pertimbangan perdagangan yang diadakan syarikat milik multinasional bagi menghadiri mesyuarat dan memberi latihan kepada pekerja negara ini berkenaan kejuruteraan mikrocip,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu jumlah kemasukan warga Israel ke negara ini.

Iklan

Mohd Azis berkata pada 2017, seramai 35 warga Israel dibenarkan masuk, manakala 34 orang pada 2018 bagi tujuan urusan perdagangan sedia ada dan persidangan antarabangsa.

Katanya, pada tahun ini, hanya tiga orang dibenarkan masuk atas hubungan perdagangan sedia ada dan tiada lagi kebenaran diberikan untuk warga Israel memasuki Malaysia selaras dengan dasar baharu kerajaan.

Iklan

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk mengenai dakwaan ejen perisik warga Israel berada di jabatan tertentu di Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Azis menjelaskan individu itu merupakan jurutera syarikat yang diambil untuk menyelenggara sistem PDRM dan bukanlah ejen perisik.

"Sudah tentu pada ketika pemasangan itu dibuat ada wakil kita di sana untuk melihat,” katanya.- Bernama