Tidak tercalon, tidak perlu kecewa

Iklan
Razali

HAMPIR kesemua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah mengumumkan lebih awal calon masing-masing.

Ramai muka baharu diketengahkan bagi menggantikan nama-nama besar yang digugurkan. Tidak terkecuali pemimpin ‘otai’ yang telah menjadi ahli Parlimen bagi tempoh lebih 20 tahun.

Iklan
Iklan

Jika orang lama tidak berundur secara terhormat, bagaimana anak muda dapat berdiri hebat di barisan hadapan?

Ia adalah amalan biasa dalam politik sebagai usaha meremajakan parti dengan memperkenalkan wajah lebih segar terutama dalam kalangan pemimpin muda.

Iklan

Ia juga selari dengan kehendak rakyat yang mahu lebih ramai anak muda diberi peluang terlibat secara aktif sebagai penggubal dasar negara.

Namun, pada masa sama tindakan menukar atau menggantikan dengan pemimpin baharu menimbulkan krisis dalaman parti kerana ada yang enggan menamatkan karier sebagai Yang Berhormat.

Iklan

Beberapa parti sedang berdepan situasi itu apabila ada yang bertindak umum keluar parti gara-gara tidak tercalon atau ditukarkan kawasan bertanding.

Malah, ada pula kes mengugut tidak mahu membantu calon baharu berkempen dan menghasut ahli parti lain untuk berbuat demikian, selain menutup pusat gerakan.

Ikuti laporan Sinar Harian mengenai pandangan beberapa pemimpin politik berhubung perkara tersebut.

Perikatan Nasional (PN) meletakkan muka baharu sebagai calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana ia sebahagian usaha untuk meremajakan parti bagi menarik 10.6 juta pengundi muda menyokong gabungan parti politik berkenaan.

Pengarah Komunikasi dan Penerangan PN Pusat, Datuk Razali Idris berkata, tindakan itu juga memenuhi aspirasi majoriti pengundi terutama orang muda berusia 18 hingga 39 tahun.

Menurutnya, ia menuntut PN menampilkan calon wakil rakyat, bukan hanya muka baharu dan muda tetapi juga perlu bebas sebarang skandal salah guna kuasa, rasuah serta kes mahkamah.

Malah katanya, langkah PN meletakkan lebih 30 peratus muka baharu sebagai calon bukan sesuatu yang pelik kerana gabungan parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) juga berbuat demikian demi menarik pengundi muda serta golongan atas pagar.

"Walaupun usaha meremajakan parti penting, namun PN tetap memerlukan adunan muka baharu dan lama serta berpengalaman bagi membolehkan kita meraih kemenangan pada PRU15 nanti.

"Penting bagi PN mengekalkan sebahagian muka lama untuk membolehkan mereka memberi bimbingan dan panduan kepada pemimpin muda menjadi wakil rakyat cemerlang serta mampu memenuhi aspirasi pengundi dan menjaga kebajikan rakyat keseluruhannya,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Razali berkata demikian ketika diminta memberi pandangan mengenai tindakan kebanyakan parti politik termasuk PN meletakkan muka baharu sebagai calon bagi menggantikan orang lama termasuk penyandang kerusi heavyweight pada PRU15.

'Jangan cepat melatah'

Dalam pada itu, Razali yang juga Pengerusi PN Terengganu menasihatkan kepada semua pemimpin PN termasuk berstatus heavyweight agar tidak cepat melatah dan meneruskan perjuangan biarpun nama mereka tidak tersenarai sebagai calon.

Malah, Razali berkata, beliau sendiri tetap akan meneruskan tugas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Terengganu serta Pengarah Komunikasi dan Penerangan PN Pusat walaupun namanya tidak tersenarai sebagai calon pada PRU15.

"Buat apa saya nak kecewa kerana saya mempunyai tugas lebih besar selaku Pengarah Komunikasi dan Penerangan PN Pusat untuk membantu semua bakal calon menang di kawasan ditandingi mereka.

"Saya juga percaya, saya mungkin mendapat ‘rezeki’ lebih baik jika PN menang dan berjaya membentuk kerajaan baharu selepas PRU15 nanti,” katanya.

Berikutan itu, Razali menempelak tindakan bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang mengumumkan keluar parti, sekali gus melepaskan semua jawatannya dalam parti.

"Tindakan Mohd Rafiq melepaskan semua jawatan dalam Bersatu dan keluar parti selepas dikatakan tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Tangga Batu pada PRU15, adalah tidak matang dan menunjukkan beliau bukan seorang pejuang parti yang tulen.

"Ini kerana beliau masih muda dan mempunyai banyak peluang untuk menjadi calon PN sama ada di peringkat Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya percaya pucuk pim-pinan tertinggi mempunyai alasan kukuh tersendiri untuk tidak menamakan beliau sebagai calon di mana-mana kerusi Parlimen di Melaka kali ini,” katanya.