Sedih tidak dapat pulang mengundi

Iklan
Gambar hiasan

TAHUN ini buat pertama kalinya sejarah baharu bakal tercipta apabila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan sahaja membolehkan golongan muda berumur 18 tahun untuk mengundi, malah menjadi calon dalam pilihan raya.

PRU15 yang akan berlangsung pada 19 November ini bakal menyaksikan hampir 1.4 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun keluar mengundi.

Iklan
Iklan

Setakat ini masih belum pasti berapa ramai anak-anak muda yang akan ditampilkan sebagai calon, namun bagi pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), mereka telah diberi pelepasan selama lima hari untuk pulang melaksanakan tanggungjawab masing-masing kepada negara.

Ini dilihat satu inisiatif yang baik daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan juga KPM dalam usaha merealisasikan Undi18 dilaksanakan.

Iklan

Tetapi apa yang menyedihkan, pelajar-pelajar Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung kemungkinan besar tidak dapat pulang mengundi kerana tambang penerbangan yang mahal. Kenapakah hal sebegini boleh berlaku?

Sudah pasti isu tambang menjadi kerisauan utama pelajar dan juga mahasiswa di mana ia sekaligus tidak memberi apa-apa makna walaupun diberi pelepasan lima hari bermula 17 November ini.

Iklan

Ini bermakna objektif utama baik KPM mahupun KPT memberi cuti pelepasan tidak tercapai iaitu untuk melahirkan generasi yang prihatin dengan pemerintahan negara dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan sebagai pengundi.

Bukan itu sahaja, bahkan ia turut membantutkan keterujaan pelajar dan mahasiswa yang ingin bersama-sama terlibat aktif dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara.

Diharapkan dalam usaha menangani isu ini ada persetujuan serta perbincangan di antara pihak berwajib bersama syarikat penerbangan khusus untuk menyelesaikan isu tiket penerbangan mahal.

Dalam masa sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut disarankan untuk mengambil pendekatan undi pos untuk pelajar terlibat bagi meringankan beban mereka, sekali gus dapat menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Kena ingat, keyakinan kita terhadap generasi muda bukan setakat sebagai pemimpin pelapis kepada kepemimpinan negeri dan negara pada masa akan datang, malah mereka jugalah bakal pemimpin matang dan berkualiti yang diharapkan.