KEJUTAN yang dibuat BN dengan menampilkan muka-muka baharu bagi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mula mendapat perhatian ramai.
BN kali ini menampilkan wajah-wajah segar dan berpengalaman untuk menggalas amanah sebagai calon gabungan parti itu di peringkat Parlimen.
Antara calon muka baharu yang diumumkan pada Selasa malam ialah pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim yang akan merebut kerusi Parlimen Larut, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan (Padang Besar) dan Datuk Rozabil Abd Rahman (Arau).
Difahamkan, pemilihan Ustaz Kazim adalah berdasarkan populariti dan pengaruhnya di negeri Perak.
Tokoh agama itu dikatakan sesuai untuk diletakkan sebagai 'underdog' di kawasan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sementara itu, antara nama besar yang digugurkan termasuk bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; bekas Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan bekas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Selain BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) turut mengatur strategi menampilkan calon-calon muka baharu bagi mewakili parti masing-masing pada PRU15.
Antara calon baharu mewakili PN termasuklah Dr Afif Bahardin yang bertanding di Parlimen Shah Alam, manakala penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman, dipertaruhkan DAP untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bentong.
Mungkin tindakan menggugurkan beberapa nama pemimpin lama bagi menggantikan calon baharu tersebut diambil sebagai langkah perubahan yang cuba diperkenalkan oleh parti.
Bagaimanapun, adakah dengan kehadiran calon-calon muka baharu ini boleh memberi peluang kemenangan buat gabungan parti tersebut?
Apa yang pasti, semuanya terletak di tangan pengundi terutamanya bagi pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun yang dianggarkan berjumlah 10.6 juta orang pada PRU kali ini.