PUTRAJAYA - Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendakwa beliau tidak pernah dirujuk atau diajak berunding oleh pucuk pimpinan parti bagi penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelasnya, selepas pengumuman dibuat oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kedudukannya yang sebelum ini samar-samar menjadi jelas.
"Apa pun, kita terima seadanya dan berlapang dada. Kita tutup dulu satu episod dan pandang kehadapan serta menghitung langkah seterusnya," katanya.
Mengimbau kemenangan pada PRU14 yang lalu, Annuar berkata, lebih 25,000 orang telah mengundi sedangkan ahli UMNO Ketereh hanya 14,000 orang.
"Bererti lebih dari 11,000 undi datangnya dari kalangan bukan ahli UMNO dan kesemuanya amat saya hargai," katanya.
Menurutnya, langkah itu memenuhi aspirasinya yang mahu melihat ahli UMNO dan Pas supaya kekal bersatu padu serta menjunjung semangat Muafakat Nasional (MN).
Beliau berkata, perjalanannya sebagai ahli politik akan diserahkan kepada rakyat untuk ditentukan.
"Pastinya jangan dibiarkan cabaran tidak bersahut, tikaman tidak bertepis, fitnah tidak berjawab dan hutang tidak berbayar," katanya.
Annuar berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk berfikir mengenai percaturan politik sebelum sebarang tindakan diambil.
"Kepada kawan-kawan yang bertubi-tubi dan memberi kata semangat, saya ucapkan ribuan terima kasih serta mohon bertenang," katanya.
Nama Annuar digugurkan daripada senarai calon yang diumumkan oleh Ahmad Zahid pada Selasa.
Kerusi itu diisi oleh Marzuani Ardila yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Ketereh.
Pada PRU14, Annuar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh dengan meraih majoriti 4,626 undi menewaskan calon PAS, Wan Ismail Wan Jusoh dan calon PKR, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Annuar memperoleh undian sebanyak 25,467, Pas (20,841) dan PKR (6,799).
TAMAT