[VIDEO] Letak muka baharu sebahagian peremajaan parti: Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Keputusan BN meletakkan ramai muka baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai sebahagian daripada peremajaan parti dan memastikan penglibatan anak muda diberikan tempat serta tidak meminggirkan undi muda bawah 40 tahun.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak perlu menerima hakikat undi bawah 39 tahun mewakili sekitar 50 peratus pengundi di negara ini yang bakal mengundi kali ini.

Iklan
Iklan

"Maka kita perlu pastikan sayap Puteri dan Pemuda BN berada dalam landasan yang betul di barisan hadapan, di Barisan Nasional. Sebab itulah, misalnya Ketua Puteri UMNO Malaysia, Ketua Puteri Negeri, Pemuda UMNO mengambil tempat dan kedudukan.

"Kita perlu berubah. Dalam politik 'no one person is indispensable, but all people are important'. Yang sudah lama berpolitik memberi laluan menjadi suri teladan BN, manakala yang muda mulai mengambil tempat dan kedudukan bagi memperbaharui kesinambungan kepimpinan masa depan," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.

Iklan

Pada Selasa, BN secara rasminya mengumumkan calon untuk bertanding pada PRU15 selain membuat kejutan dengan tidak menyenaraikan beberapa calon 'otai'.

Beliau menjelaskan, saringan yang terperinci telah dilakukan bagi mengelak berlakunya pisang berbuah kali daripada sikap, pendirian dan tingkah laku yang boleh memudaratkan UMNO dan BN.

Iklan

"Tahniah kepada semua calon BN yang berjaya dipilih. Sesungguh anda adalah yang terbaik kalangan terbaik. Mereka inilah juga antara yang ramai dalam BN yang memenuhi ciri kriteria 'WALI' yang kita perlukan untuk memenangi pilihan raya umum pada kali ini iaitu ciri 'winnability' (boleh menang), 'acceptibility' (kebolehterimaan) dan 'likeability' (disenangi).

"Jika UMNO dan BN tidak membuat perubahan sekarang, maka boleh menyebabkan parti ketinggalan ke belakang di kala parti-parti pesaing melakukan perubahan terutama kalangan calon yang bertanding pada pilihan raya umum," katanya.

Beliau turut menasihatkan individu yang tidak terpilih supaya mengambil sikap yang betul, berjiwa besar dan menerima sebagaimana mereka pernah diberikan peluang belasan dan puluhan tahun dahulu.

"Jangan pula cetuskan rasa tidak berpuas hati, marah, protes, cah keting, sabotaj malah cuba tutup bilik gerakan dan memberikan kenyataan yang memburukkan reputasi parti mereka sendiri.

"Mereka perlu sedar apabila ini dicetuskan ia menunjukkan warna sebenar sikap mereka terhadap parti dan rakyat perlu nilai sendiri peribadi politik sedemikian. Ketika ini kesetiaan kepada parti, merapatkan barisan lebih penting daripada merintih apabila tidak dicalonkan.

"Maka janganlah pula terfikir untuk mengkhianati parti secara langsung dan tidak langsung. Jika ini berlaku bermakna tidak bersyukur kerana selama ini mereka relevan, menjawat jawatan lama kerana atas tiket parti UMNO dan BN," katanya.