Perubahan kejurulatihan KDA FC beri nafas baharu

Iklan
Mohd Firdaus

PERUBAHAN terhadap barisan kejurulatihan dalam bola sepak Kedah perlu dilaksanakan bagi memberi nafas baharu kepada pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Exco Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, ada perubahan perlu dilakukan berdasarkan penilaian semasa prestasi pasukan bola sepak Kedah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perubahan berkenaan juga dilakukan memandangkan pengemudi yang sama telah bersama pasukan KDA FC sejak empat tahun lepas.

"Ia seterusnya menyumbang kepada peningkatan mutu permainan individu yang akan menghasilkan pemain berbakat di Malaysia,” katanya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Iklan

Mohd Firdaus berkata sedemikian ketika menjawab soalan Mohd Asmirul Anuar Aris (Kubang Rotan-Amanah) yang meminta kerajaan negeri menganalisis maklumat serta membentangkan laporan kegagalan Sukan Malaysia (Sukma) dan pasukan bola sepak Kedah dalam Liga Super serta Piala Malaysia untuk tujuan penambahbaikan pada masa akan datang.

Tambah beliau, perancangan perniagaan lebih berstruktur dengan memperkukuh aspek pemasaran dan penjenamaan kelab juga dilakukan untuk meningkatkan punca pendapatan.

Iklan

Katanya, tindakan berkenaan akan memastikan kewangan kelab lebih stabil yang akan memberi jaminan kebajikan kepada pemain.

"Bagi jangka masa panjang, KDA FC telah menubuhkan jawatankuasa teknikal dan 'scouting' untuk mengesan bakat muda dari peringkat umur 14 dan 15 tahun untuk diserap ke dalam pasukan akademi Bawah 17 tahun Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kedah-KDA FC.

"Pemain muda yang berbakat memudahkan kelab untuk menyediakan kumpulan pelapis pemain untuk diketengahkan kepada pasukan simpanan dan pasukan utama,” katanya.

Ketika menjawab soalan berhubung kegagalan atlet Kedah mencapai sasaran 25 pingat emas pada Sukma 2022 lepas, Mohd Firdaus berkata, sembilan acara yang sepatutnya memenangi emas telah tersasar memenangi pingat perak.

"Antaranya, sukan berbasikal, pelayaran, lawn bowls, badminton serta skuasy. Terdapat beberapa faktor mempengaruhi kontinjen Kedah tidak mencapai sasaran 25 pingat Emas seperti kalah tipis di perlawanan akhir.

"Selain itu, keputusan teknikal tidak menyebelahi atlet Kedah, faktor cuaca dan angin, kecederaan pada saat akhir serta atlet kebangsaan yang diharapkan gagal menyerlah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Majlis Sukan Negeri (MSN) telah menjalankan 'post moterm' bagi menilai dan mengkaji punca-punca kegagalan pasukan Sukma mencapai sasaran pingat pada edisi yang lepas dengan hanya berjaya mengutip 16 pingat emas.

"Namun, analisa dan laporan penuh tidak dapat dibentangkan lagi sehingga mendapat persetujuan dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Dijangka laporan penuh akan dapat dibentangkan dalam masa terdekat,” katanya.