Kos sara hidup, perangi rasuah antara 10 tawaran utama PH

Iklan
Anwar ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tawaran Harapan - Kita Boleh! di Klang, pada Rabu.

KLANG - [DIKEMAS KINI] Menangani isu kos sara hidup dan memerangi rasuah menjadi antara 10 keutamaan yang ditekankan Pakatan Harapan (PH) sekiranya diberi mandat membentuk Kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Antara lain, PH turut menawarkan untuk memperkasakan peluang ekonomi belia; menyelamatkan generasi tercicir dalam pendidikan; membina ketahanan bencana dan memantapkan perlindungan; menangani isu doktor kontra dan menjamin kebajikan penjawat kesihatan.

Iklan
Iklan

Selain itu, PH juga berhasrat menghapuskan isu ketidaksamaan gender dan memperkasakan sosio ekonomi wanita; memperkasakan Wilayah Sabah dan Sarawak; meningkatkan daya saing rakyat; dan memelihara khazanah alam.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tawaran PH bermatlamat menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh melalui pertumbuhan ekonomi, memulihkan keyakinan umum menerusi pentadbiran beramanah dan menyediakan negara untuk mendepani pelbagai cabaran masa hadapan.

Iklan

Menurutnya, tunggak dalam manifesto ditawarkan, masih berkait isu tatakelola pemerintahan yang baik.

"Sebab itu dalam pimpinan, soal keluhuran undang-undang, kebebasan badan kehakiman, pembanterasan rasuah itu harus kekal sebagai tunggak.

Iklan

"Kalau tidak, rencana mungkin baik, tetapi ketirisan, kebocoran, dan rasuah menghantui kita

"Mengapakah istimewa manifesto ini saya tidak fikir mungkin UMNO dan BN boleh mengemukakan cadangan dengan mempertahankan prinsip tata kelola yang baik kerana isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu terlalu terpalit dalam kalangan pimpinan mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tawaran Harapan - Kita Boleh! di sini, pada Rabu.

Tambah beliau, PH tekad untuk membina semula Malaysia daripada kemusnahan BN dan PN dalam tempoh lebih 30 bulan lepas yang dibelenggu kepincangan dasar dan ketirisan pentadbiran.

Kata Anwar, ia termasuk ketandusan idea gabungan parti-parti kerajaan itu untuk menangani masalah jangka panjang seperti kesenjangan masyarakat.

"Berbekalkan iltizam kukuh barisan kepimpinan PH dan mandat jelas melalui kehadiran penuh rakyat di peti undi pada 19 November, kita boleh membangunkan Malaysia yang lebih mampan, sejahtera, berdaya cipta, berteraskan nilai hormat dan ihsan.

"Dasar-dasar yang digariskan Tawaran PH ini boleh melonjakkan Malaysia jauh ke depan," katanya.