KLANG - Sanggup berhimpit dalam bot selain berdepan gelora ombak besar hanya kerana mahu menceroboh masuk ke dalam negara ini.
Bagaimanapun, pencerobohan 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia bersama tekong dan dua kru itu berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di Tanjung Layang, pada Isnin.
Salah seorang PATI yang dikenali sebagai Suhaili, 29, berkata, terpaksa meninggalkan enam orang anaknya berusia empat hingga 15 tahun di Indonesia di bawah jagaan ibunya untuk bekerja di Malaysia sebagai pekerja ladang kelapa sawit di Pahang.
Menurut wanita berasal dari Lombok itu, dia membayar 7 juta rupiah (RM2,121) kepada ejen di Indonesia untuk masuk ke Malaysia melalui laluan tidak sah.
"Urusan ini diuruskan suami saya yang berada di Malaysia.
"Ini kali kedua saya masuk ke sini (Malaysia) untuk bekerja di ladang kelapa sawit di Pahang bersama suami dengan bayaran gaji RM1,500. Kali pertama saya masuk secara sah dan pulang ke Indonesia pada 2017," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Maritim Selangor di sini pada Rabu.
Menceritakan perjalanan semasa di dalam bot, dia mendakwa menaiki bot pada Ahad dan berada di perairan lebih 16 jam.
"Hanya mi segera jadi bekalan. Kami terpaksa berhimpit dalam bot yang gelap dan gelora ombak besar yang menakutkan. Saya tidak pernah naik bot dan tak tahu mengapa saya pilih jalan ini," ujarnya.
Selain itu, Alfin, 22, berkata, dia yang berasal dari Kupang telah membayar 5 juta rupiah (RM1,515) kepada ejen untuk masuk Malaysia dan bekerja sebagai pekebun sayur di Ipoh, Perak.
Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, sindiket dipercayai mengenakan caj sekitar RM1,500 hingga RM2,500 untuk membawa PATI terbabit bergantung jarak dan lokasi.
Jelasnya, siasatan maritim mendapati kesemua PATI yang ditahan pernah bekerja di pelbagai sektor seperti pembersihan serta perladangan di Malaysia dan kemasukan mereka adalah untuk bekerja semula di sektor yang sama.
"Kita akan terus pergiat operasi dengan memberi tumpuan terhadap tekong atau ejen sindiket agar kegiatan jenayah rentas sempadan ini dapat dibanteras sepenuhnya," ujarnya.