Daesh: Wanita Kansas dipenjara 20 tahun

Iklan
Gambar hiasan

WASHINGTON - Mahkamah AS menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas seorang wanita Amerika pada Selasa kerana menubuhkan dan mengetuai batalion militan Daesh/ISIS yang dianggotai wanita untuk berperang bagi pihak kumpulan pengganas di Syria, menurut Jabatan Kehakiman.

Agensi Anadolu melaporkan Allison Fluke-Ekren, 42, mengaku bersalah pada Jun serta mengaku bersubahat untuk memberikan sokongan material atau sumber kepada organisasi pengganas asing itu.

Iklan
Iklan

Dia mengakui menubuhkan Khatiba Nusaybah dan melatih lebih 100 wanita dan kanak-kanak perempuan termasuk beberapa orang berusia seawal 10 tahun untuk berjuang bagi pihak Daesh/ISIS mempertahan bekas ibu kotanya Raqqah di Syria, menurut jabatan itu.

Fluke-Ekren, seorang guru terlatih dari negeri Kansas yang memeluk Islam adalah wanita Amerika pertama yang didakwa dengan jayanya atas peranan kepimpinannya dalam kumpulan pengganas antarabangsa itu, lapornya.

Iklan

Dokumen mahkamah menyebut pada 2008 Fluke-Ekren berpindah ke Mesir bersama suami keduanya, Volkan Ekren, ahli kumpulan pengganas Ansar al-Sharia yang telah meninggal dunia, sebelum berpindah ke Libya pada 2011.

Pada 2012, wanita itu mengembara dari Libya ke Türkiye dan kemudian ke Syria yang berada di tengah-tengah konflik yang semakin meningkat.

Iklan

Suaminya menjadi ketua Daesh/ISIS sebagai penembak tepat di Syria pada 2014 dan pada masa itu, Fluke-Ekren bercakap tentang hasratnya untuk melancarkan serangan ke atas AS, seorang saksi memberitahu mahkamah.

Pada 2016, dia dilantik untuk mengasas dan mengetuai 'pusat wanita' di Raqqah dan melatih wanita dan gadis dalam penggunaan senapang AK-47, bom tangan dan tali pinggang bunuh diri.

Khatiba Nusaybah secara rasmi memulakan operasi pada Februari 2017 apabila penguasaan wilayah Daesh/ISIS mula jatuh di Syria. Raqqah jatuh pada bulan Oktober tahun itu.

Fluke-Ekren cuba melarikan diri dan meminta seseorang untuk memberitahu keluarganya bahawa dia meninggal dunia di Syria untuk mengelak daripada ditangkap, menurut perjanjian rayuannya. Dia dibawa ke AS pada Januari selepas ditahan di Syria. - Bernama