BN pertaruh pasukan terbaik bawa kestabilan di Pahang

Iklan
Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Pahang berucap pada Majlis Pengumuman Calon-Calon BN Negeri Pahang bagi PRU15 hari ini. - Foto Bernama

KUANTAN - BN Pahang yakin kesemua barisan calon yang dipertaruhkan di 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah pasukan terbaik yang berupaya membawa kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan di negeri ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka ini adalah pasukan yang berkelayakan dan berkemampuan untuk memastikan Belanjawan Pahang 2023 yang sudah diluluskan tempoh hari, dapat diterjemahkan dengan cara yang terbaik.

Iklan
Iklan

Beliau menegaskan bahawa PRU15 ini adalah PRU yang sangat penting kerana ia akan menjadi titik tolak untuk mengembalikan mandat dan kuasa ke tangan rakyat.

"Ia sebagai titik tolak yang akan meletakkan kembali negara ke landasan yang betul selepas lebih empat tahun negara berada dalam keadaan terumbang ambing, penuh dengan ketidaktentuan dan percaturan politik.

Iklan

"Saya percaya kita berhak mengubah nasib negara dengan memilih kerajaan baharu. Kerajaan baharu yang bukan sahaja stabil dan kuat tetapi kerajaan yang mampu membawa kemakmuran dan kesejahteraan.

"Kita tidak mahu lima tahun akan datang menjadi satu lagi episod sandiwara dan drama politik musim kedua. Rakyat sudah penat. Negara pun sudah jauh ketinggalan. Pasukan BN Pahang diumumkan itu akan membawa secara rasmi obor dan sinar baharu untuk kita," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman senarai calon BN bagi kerusi DUN dan Parlimen di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, calon Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Wan Rosdy menjelaskan, kesemua calon-calon yang dibariskan mewakili kesemua parti komponen berdasarkan persetujuan dan persefahaman yang jelas atas semangat dan muafakat BN.

Katanya, tiada sebarang pergeseran atau masalah yang besar berlaku dalam merunding dan membahagikan kerusi antara parti-parti komponen BN.

"Ini kekuatan BN, iaitu keupayaan kita untuk berunding dan berbincang dengan baik dalam segala perkara. Tidak ada yang mahu membawa bendera dan logo sendiri. Tidak ada yang merajuk dan mengugut parti.

"Calon yang dipilih ini adalah mereka yang diangkat dari pelbagai peringkat. Ada daripada sayap wanita, ada daripada pergerakan pemuda dan sudah pastilah ada calon daripada pergerakan puteri.

"Malah, ada daripada golongan profesional. Jadi tanggapan bahawa semua calon adalah Ketua Bahagian adalah tidak benar sama sekali," tegas beliau yang merupakan penyandang kerusi DUN Jelai.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak termasuk pemimpin yang tidak pilih menjadi calon supaya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan itu.

"Janganlah adalah yang terasa hati, membawa diri atau memboikot usaha kita sehingga menjadi gunting dalam lipatan. Itu bukan budaya kita di Pahang," ujarnya.