IPOH - Calon kerusi Parlimen Gerik, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tekad untuk melakukan terbaik bagi mempertahankan kerusi kawasan yang merupakan kubu kuat BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Jelas Asyraf Wajdi, beliau yakin dapat mendekati pengundi kawasan berkenaan dengan meneruskan perjuangan parti untuk membela rakyat.
"Tak kenal maka tak cinta. Saya hanya manusia biasa yang cuba menawarkan diri atas amanah yang diberikan pucuk pimpinan.
"Sebagai pemimpin baharu di Gerik, saya tekad untuk melakukan yang terbaik.
"Kalau diberikan amanah sudah tentu saya akan buat sehabis baik dan saya tidak akan tinggalkan rakyat di Gerik walau apa pun yang berlaku," katanya ketika ditemui pada Pengumuman Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) BN Perak di Meru Raya di sini pada Rabu.
Mengulas bantahan akar umbi UMNO Gerik, Asyraf Wajdi yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, perkara itu disifatkan sebagai lumrah berikutan kehadirannya sebagai 'calon luar'.
"Setelah kenal, kita akan sama-sama bertaut hati dan paling penting, kita dapat menyumbang satu kerusi Parlimen ini bagi membolehkan kerajaan BN ditubuhkan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menempatkan 'calon luar, bukanlah satu isu besar.
"Ketika saya sebut sebelum ini memang tiada calon luar (senarai). Tetapi seperti biasa memang berlaku dalam UMNO di saat-saat akhir terjadi sedemikian," katanya.
Pada PRU15, Asyraf Wajdi akan bertemu dengan calon DAP, Ahmad Tarmizi Mohd Jam dan calon Perikatan Nasional (PN), Fathul Huzir Ayob.
Pada PRU14 lalu, BN diwakili Datuk Hasbullah Osman menang dengan majoriti 5,528 undi dalam pertandingan tiga penjuru bersama Pakatan Harapan dan Pas.
Kerusi berkenaan bagaimanapun kosong sejak November 2020 berikutan kematian Hasbullah akibat serangan jantung di Hospital Raub, Pahang.
Parlimen Gerik merupakan kubu kuat BN yang telah berjaya mempertahankan kerusi berkenaan sejak dahulu lagi.
Pada pilihan raya lepas, dua kerusi DUN dalam Parlimen Gerik turut dikuasai BN menerusi Datuk Aznel Ibrahim di DUN Pengkalan Hulu dan Salbiah Mohamed (Temengor) masing-masing dengan majoriti 2,375 dan 3,935 undi.