KOTA BHARU - Sikap positif dan berlapang dada yang ditonjolkan penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa perlu dipuji walaupun nama beliau tidak dinamakan sebagai calon oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak berkata, ia jelas menunjukkan kematangan Annuar dalam dunia politik yang tidak mudah melatah atau memberontak apabila namanya tidak dicalonkan.
"Memang saya terkejut juga apabila nama Annuar tidak dicalonkan di Parlimen Ketereh tetapi apa boleh buat, dalam politik itu adalah antara strategi parti. Mungkin parti telah memikirkan sesuatu tempat yang terbaik untuk Annuar.
Pada Selasa, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin menjadi calon Parlimen Ketereh pada PRU15.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada lebih 25,000 pengundi di Ketereh yang mengundi beliau pada PRU14.
Ketika diminta mengulas mengenai senarai nama calon BN yang akan bertanding di Kelantan, Rozali berkata, keputusan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti jelas menunjukkan kebijaksanaan mengatur strategi untuk meraih undi terutamanya pengundi muda.
"Ramai muka baharu ditampilkan pada PRU15 ini dan kita yakin semua pihak berpuas hati dengan keputusan parti," katanya.
Sementara itu, Felo Penyelidik Kanan Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur, Profesor Madya Datuk Dr Baharuddin Aziz berkata, telah tiba masanya Annuar memberi laluan kepada calon muka baharu daripada UMNO dan membantunya memenangi kerusi Parlimen Ketereh.
"Sebaik-baiknya dia (Annuar) sokong calon Parlimen Ketereh, bukannya bertanding atas tiket parti lain kerana kita tahu dia adalah antara orang lama di Kelantan yang berkhidmat untuk UMNO," kata penganalisis politik itu. - Bernama