PRU15: Dzulkefly sedia pertahan Kuala Selangor

Iklan
Dr Dzulkefly

KUALA SELANGOR - Penyandang Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sedia mempertahankan kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dr Dzulkefly berkata, kerusi Parlimen itu perlu kekal milik Pakatan Harapan (PH) walaupun BN menampilkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk bertanding kerusi berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya terpanggil memenuhi permintaan sebahagian pengundi Kuala Selangor dan mentaati arahan pimpinan tertinggi parti PH untuk pertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Rabu.

Menurut Dr Dzulkefly, beliau berikrar untuk meneruskan tradisi 'memperhambakan' diri, menyantuni dan membela rakyat tanpa prejudis atau diskriminasi kepada warga Kuala Selangor serta memastikan pembangunan Parlimen itu dapat dijayakan.

Iklan

Jelas Dr Dzulkefly, pertarungan PRU15 ini merupakan penentuan sama ada negara berada ke hadapan atau pun mundur ke belakang.

"Mara ke hadapan bermaksud kerajaan kompeten yang banteras amalan rasuah dan salah-guna kuasa bagi membangun ekonomi mapan serta berdaya-saing dan mengeratkan hubungan antara kaum, agama dan budaya serta menstabilkan politik negara.

Iklan

"Mundur ke belakang bererti mengizinkan 'gerombolan' yang sarat dengan pelbagai tabiat rasuah dan salah-guna kuasa kembali memerintah secara dominan," ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, besar harapan beliau untuk memastikan majoriti rakyat sudah bersedia untuk maju ke hadapan.

"Semoga ALLAH membimbing kita untuk bersama-sama melaksanakan agenda perubahan ke arah Malaysia yang lebih bersih dan cemerlang," jelasnya.

Pada PRU15 ini, Dr Dzulkefly yang juga bekas Menteri Kesihatan ditentang Tengku Zafrul dari BN, manakala Perikanan Nasional pula diwakili calon Pas, Muhammad Rashid Mohd Kassim dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jeram, Mohd Shaid Rosli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon 5 November dan pengundian awal pada 15 November.