JOHOR BAHRU - Pas Johor akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) berhubung pembahagian empat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15).
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, meskipun hanya mendapat empat Parlimen sahaja iaitu, Muar, Parit Sulong, Sri Gading dan Tenggara, namun ia tidak mematahkan semangat untuk memperoleh kemenangan.
Katanya, rundingan telah dibuat pucuk pimpinan Pas, Bersatu dan Gerakan berhubung pembahagian kerusi dan Pas Johor menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.
"Apa pun perkara paling penting ialah kita mahu menanam iltizam dan komitmen kita untuk memenangi empat kerusi yang ditandingi pada PRU15," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar memperkenalkan calon-calon Pas Johor yang akan bertanding pada PRU15 di Pejabat Pas di Bandar Baru Uda, di sini, pada Rabu.
Abdullah yang juga Naib Pengerusi PN Johor akan bertanding di kerusi Muar manakala Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Abdul Karim Deraman akan bertanding di Parit Sulong.
Sementara itu, Mohd Nazari Mokhtar akan bertanding di kerusi Parlimen Tenggara dan calon tunggal muslimat Pas iaitu Zanariyah Abdul Hamid akan merebut kerusi Sri Gading.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, gerak kerja jentera Pas sudah bermula sejak Parlimen dibubarkan dengan sasaran mahu mendekati lebih ramai pengundi muda termasuk menggunakan media sosial.
"Pas akan fokus sebaiknya, walaupun cuma empat kerusi. Pada PRU14 lalu, ketika Pas solo, sebanyak 20 kerusi Parlimen ditandingi, tetapi tidak ada yang dimenangi ketika itu.
"Oleh itu, apabila jumlah kerusi tidak banyak ditandingi, diharapkan satu lonjakan berlaku dalam sejarah Pas Johor dengan memenangi kerusi Parlimen kali ini. Sebelum ini Pas Johor hanya mendapat kemenangan di peringkat DUN sahaja," katanya.