DI sebalik kejayaan mara ke aksi suku akhir Piala Malaysia wujud rasa gusar di raut wajah Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan.
Beliau meluahkan rasa bimbang terhadap proses pemulihan dan tahap kecergasan anak buahnya susulan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan.
Skuad Jang mara ke kelompok lapan pasukan terbaik setelah menang dengan agregat 2-1, biarpun terikat tanpa jaringan dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi di Paroi pada Selasa.
Devan memberitahu, intensiti tinggi dalam persembahan kedua-dua pasukan mengakibatkan ada pemain yang cedera.
"Memang sedikit bimbang dengan tahap kecegasan beberapa pemain susulan kecederaan yang mereka alami dalam aksi malam ini (Selasa).
"Keadaan ini mungkin akan memberi masalah kepada kita dalam persiapan menghadapi Selangor FC di suku akhir nanti,” katanya tanpa menamakan pemain berkenaan.
Justeru beliau berharap situasi berkenaan tidak begitu serius dan pemain terbabit dapat pulih menjelang pertembungan dengan Selangor FC nanti.
"Selepas ini, kita perlu segera membuat persiapan dan melihat sebarang kelemahan bagi menghadapi perlawanan suku akhir, Ahad nanti,” katanya.
Mengulas aksi kedua pusingan awal itu, Devan percaya ia bukan hari yang baik buat pemainnya terutama, Gustavo Dos Santos yang memiliki peluang terbaik menjaringkan dua gol termasuk menerusi sepakan penalti.
"Gustavo yang diturunkan pada separuh masa kedua berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol termasuk menerusi sepakan penalti, tetapi hari ini (Selasa) ternyata bukan hari dia.
"Jika jaringan itu dapat dilakukan mungkin pemain saya tidak perlu bersusah payah sehingga ke penghujung perlawanan.
"Namun begitu, saya tetap berpuas hati dengan persembahan dipamerkan pemain dan yang penting mereka berjaya mencipta peluang jaringan selain dapat bertahan dengan baik daripada serangan pasukan Kedah,” katanya.