Calon baharu PKR akui terpaksa bersaing nama besar

Iklan
Alias

HULU TERENGGANU - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerusi Parlimen Hulu Terengganu akui punyai cabaran besar berdepan calon BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Menurut Alias Ismail, beliau akan ‘berlawan’ dengan nama-nama besar yang sudah dikenali, berpengalaman dan mempunyai jasa tersendiri di Parlimen itu.

Iklan
Iklan

"Cabaran besar cikgu (Alias) ialah Datuk Rosol Wahid calon Bersatu, dia turun dengan nama besar, berpengalaman. Cikgu sebagai orang baharu, cikgu akui berada di tahap bawah dari segi kedudukan itu.

"Begitu juga dengan cabaran calon dari BN, Datuk Rozi Mamat, dia kawan sepermainan cikgu, dia baik dengan orang. Apabila baik dengan orang, ia satu kelebihan untuk meraih undi.

Iklan

"Tetapi cikgu akan hadapi dengan penuh yakin kerana cikgu juga mempunyai kelebihan tertentu terutama dalam bidang pendidikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ismail berkata, pengalaman berkhidmat sebagai guru selama 32 tahun, ramai yang mengenalinya dan sudah mempunyai satu penjenamaan apabila disebut tentang kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Hulu Terengganu.

Iklan

"Sebut sahaja Bahasa Melayu SPM di Hulu Terengganu, orang tidak akan lupa Cikgu Alias. Perkara-perkara seperti ini secara tidak langsung menarik ibu bapa, bekas pelajar dan masyarakat akan mengundi cikgu,” katanya.

Ismail berkata, beliau akan memberi fokus kepada pengundi baharu kerana di kalangan itu, ramai bekas pelajarnya yang turut memberi sokongan kepada perjuangannya dalam PKR.

"Cikgu tak fokus pengundi berusia 40-an ke atas kerana mereka sudah ada pegangan masing-masing,” jelasnya yang akan meneruskan perjuangan pada PRU15 dengan bertemakan politik hati nurani.

Melalui tema itu, Alias menganggap PRU15 sebagai perlawanan di antara sahabat dan tidak akan memburukkan kawan sendiri.

Beliau berjanji tidak akan mencari atau mencanang perkara-perkara negatif pihak lawan.

"Cikgu anggap ia sebagai satu ukhuwah. Maknanya kita raikan orang walaupun kita bakal ‘berlawan’ dalam politik untuk menang,” katanya.